AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia kembali susut selepas dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini namun kembali susut selepas itu, sekali gus meneruskan aliran rendah semalam berikutan pelabur tidak memasuki pasaran susulan ketiadaan petunjuk hala tuju.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras turun 0.45 mata kepada 1,595.83 daripada 1,596.28 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 1.33 mata lebih tinggi kepada 1,597.61.

Keseluruhan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 88 berbanding 84, manakala 170 kaunter tidak berubah, 1,645 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 126.58 juta saham bernilai RM39.60 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, peserta pasaran ekuti Malaysia masih bimbang mengenai asas negara di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang tidak memberangsangkan yang juga mungkin menjejaskan prospek pertumbuhan pendapatan korporat.

“Meskipun mencatatkan penurunan sederhana baru-baru ini, penilaian FBM KLCI masih tidak dapat menarik perhatian memandangkan nisbah harga kepada keuntungan hadapan kekal pada purata sebelum ini, justeru itu mendorong hanya sedikit potensi kenaikan kecuali terdapat prospek pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh.

“Pada masa sama, keputusan mengenai sama ada Bon Kerajaan Malaysia akan kekal dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE atau sebaliknya juga boleh mempengaruhi sentimen lebih lama,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata berdasarkan persekitaran semasa, keadaan pasaran yang mencatatkan prestasi bercampur-campur sehingga rendah mungkin berterusan dalam jangka terdekat dengan 1,590 dan 1,580 masih kekal sebagai paras sokongan.

“Paras rintangan pula masing-masing pada 1,600 dan 1,610,” menurutnya.

Antara saham paling rugi, KL Kepong merosot 38 sen kepada RM23.02, KESM Industries jatuh 15 sen kepada RM7.10 dan Digi turun lima sen kepada RM4.71.

Bagaimanapun, kenaikan berkaitan indeks utama didahului Maybank yang naik satu sen kepada RM8.65 dan TNB menokok 10 sen kepada RM13.72, telah mengehadkan indeks itu daripada mencatatkan dagangan lebih rendah.

Antara saham berwajaran tinggi, Public Bank dan CIMB Group masing-masing turun dua sen kepada RM20.14 dan RM5.02, Petronas Chemicals menambah lima sen kepada RM7.75, manakala Maxis kekal tidak berubah pada RM5.70.

Indeks FBM Emas turun 3.47 mata kepada 11,273.12, Indeks FBMT 100 kurang 6.39 mata kepada 11,103.05 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 4.13 mata kepada 11,828.04.

FBM 70 menguncup 21.47 mata kepada 13,941.96 dan FBM Ace turun 9.70 mata kepada 4,535.24.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 10.63 mata kepada 15,433.72, Indeks Perladangan turun 21.69 mata kepada 6,764.43 namun Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.40 mata kepada 154.77.

– BERNAMA


Pengarang :