AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia tinggi pada akhir dagangan pagi

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi pada paras lebih tinggi, dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.98 mata kepada 1,607.28, dipacu terutamanya oleh kenaikan saham Petronas Chemicals dan Maybank.

Barometer pasaran dibuka 0.91 mata lebih tinggi pada 1,603.21 berbanding 1,602.30 semasa ditutup pada Rabu.

Seorang penganalisis berkata, FBM KLCI dilihat akan meneruskan trajektor menaik untuk melepasi paras 1,610, sebelum mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari(MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Pusat Eropah (ECB) hari ini serta pengumuman oleh FTSE Russell mengenai Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) dalam waktu terdekat.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Nazri Khan Adam Khan baru-baru ini berkata, BNM mungkin melaksanakan satu lagi pengurangan kadar dengan kadar dasar semalaman (OPR) ditetapkan pada 2.75 peratus di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dan kitaran penurunan kadar yang sedang dilakukan oleh bank-bank pusat utama seluruh dunia.

Menerajui senarai saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals naik 34 sen kepada RM7.57, Maybank menokok enam sen kepada RM8.95, Digi naik 12 sen kepada RM4.73 manakala Axiata dan Genting Malaysia masing-masing naik empat sen kepada RM4.24 dan RM3.25.

Bagi saham cergas, Hubline dan Tadmax masing-masing menokok setengah sen kepada 5.5 sen dan 31.5 sen manakala Green Packet naik satu sen kepada 25.5 sen.

Bumi Armada tidak berubah pada 28.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 29.09 mata kepada 11,320.95, Indeks FBMT100 meningkat 28.88 mata kepada 11,156.69 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 32.03 mata kepada 11,849.18.

FBM Ace turun 12.55 mata kepada 4,493.18 dan FBM 70 naik 12.37 mata kepada 13,901.63.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 37.13 mata kepada 15,598.23, Indeks Perladangan turun 15.48 mata kepada 6,830.26 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.53 mata kepada 153.52.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 378 berbanding 284, dengan 367 kaunter tidak berubah, 940 tidak diniagakan dan 15 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.07 bilion unit bernilai RM789.27 juta.

– BERNAMA


Pengarang :