AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cadangan henti skim pencen masih dikaji – TPM

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Cadangan untuk menghentikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam bagi lantikan baharu bermula tahun hadapan masih dalam peringkat kajian, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya difahamkan ia akan dibawa dan diangkat kepada Kabinet untuk mendapatkan persetujuan atau pun tidak… kita akan bincangkan lebih lanjut.

“Namun ia belum lagi diberi kepada Kabinet… kita akan perincikan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Women in Business (WinBiz) yang diperkenalkan Bank Islam sebagai penyelesaian kewangan baharu yang dikhususkan bagi usahawan wanita di bawah segmen perniagaan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah berkata, mulai tahun hadapan, lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Menurut Borhan, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembaharuan Perkhidmatan Awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Terdahulu, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapannya menyeru agar institusi kewangan di Malaysia mencontohi dan mengikut langkah Bank Islam dalam memperkenalkan produk atau perkhidmatan yang menggalakkan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan.

Beliau juga menggesa pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berusaha ke arah meningkatkan penglibatan wanita dalam perniagaan, khususnya perindustrian kecil dan sederhana (PKS).

Berdasarkan Banci Ekonomi 2016 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat hampir satu juta perniagaan dalam segmen PKS, yang mana kira-kira 20.6 peratus daripadanya adalah perniagaan yang dimiliki atau dikuasai wanita.

“Ini jelas menunjukkan bahawa PKS antara tulang belakang kepada kesejahteraan ekonomi negara dan saya yakin bahawa usahawan wanita berkemampuan memacu pertumbuhan ekonomi untuk jangka panjang,” katanya.

Ini dapat dicapai sekiranya mereka diberi ruang untuk merangsang kemampuan dan kapasiti, di samping menjalin kerjasama dengan perniagaan, kerajaan dan masyarakat bagi terus memperkukuhkan peluang serta hasil dalam rantaian nilai domestik mahupun global.

– BERNAMA


Pengarang :