Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengetuai delegasi Kerajaan Selangor bertemu konglomerat bagi sektor rangkaian sosial dan permainan terbesar Asia, Tencent Holdings, di Shenzen, China bermula 1 September lalu.
BERITA UTAMA

CANBOT Robotics hasrat jadikan Selangor hab perniagaan

KLANG, 3 SEPT: Peneraju perkhidmatan robot pintar terkemuka di China, CANBOT Robotics berhasrat menjadikan Selangor sebagai hab perniagaan, bagi menembusi pasaran Asia Tenggara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hasrat itu dinyatakan kepadanya ketika beliau bersama delegasi Selangor mengadakan lawatan kerja ke China selama empat hari, bermula 1 September lalu.

“CANBOT berminat untuk menjadikan Selangor sebagai hab mereka menembusi pasaran Asia Tenggara.

“Mereka menyatakan hasrat dan berkemungkinan mengembangkan lagi peluang serta potensi perniagaan ke Selangor,” katanya dalam ciapan Twitternya.

Syarikat pencipta dan pengilang yang terbabit dalam penghasilan robot paling kreatif bagi kegunaan keluarga dan perindustrian itu mula menerajui bidang penyelidikan robotik sejak 2008, sebelum
meneruskan dalam AI, pengesanan suara, navigasi dalam, sensor pintar dan ‘interactive soft-wears’.

CANBOT turut bekerjasama dengan organisasi seperti CSIST, INTEL, IBM, HUAWEI, NVIDIA dengan sokongan daripada pasukan kejuruteraan dan teknologi penyelidikan terbaik di dunia.

Turut serta dalam lawatan itu ialah EXCO Kerajaan Negeri, Dato’ Teng Chang Khim dan Hee Loy Sian serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Semalam, delegasi itu bertemu konglomerat bagi sektor rangkaian sosial dan permainan terbesar Asia, Tencent Holdings dan Nine Dragons (Dongguan) Plant.

Amirudin berkata, syarikat multinasional gergasi itu memegang pelaburan utama di negara berkenaan sejak mula ditubuhkan pada 1998 yang mencatat nilai syarikat tertinggi mencecah USD 500 bilion melalui pengkhususan sektor rangkaian sosial, pembayaran digital, hiburan, kecerdasan dan teknologi.

“Lawatan ini juga akan menumpukan usaha menarik pelaburan dari syarikat alat telekomunikasi terkenal, Huawei.

“Kita akan memperkukuhkan persediaan infrastruktur digital dari segi jalur lebar kerana Kerajaan Selangor mahu mereka melabur di sini, sekali gus menjana lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Pada 7 April lalu, Chang Khim mengumumkan China mencatatkan pelaburan tertinggi di Selangor dengan nilai pelaburan RM3.93 bilion setakat ini.

Pelaburan itu membabitkan pelaburan dalam barangan berasaskan logam.


Pengarang :