Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain (tiga, kanan) bersama Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Roslan Wahab (dua, kanan) bersama kakitangan yang menerima pentauliahan ketika Majlis Pelancaran CDERT PKNS 2019 di Dewan Aster Bangunan Ibupejabat PKNS, Shah Alam, pada 13 September 2019.- Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

CDERT tingkat kemajuan, keselamatan masyarakat

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 13 SEPT: Penyertaan pegawai dalam Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) berupaya meningkatkan kemajuan dan keselamatan dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab berkata, CDERT akan dilaksanakan dengan lebih mudah dan teratur dengan penglibatan pegawai daripada peringkat atasan hingga kepada anggota bawahan.

“CDERT dilaksanakan dalam beberapa kategori iaitu peringkat agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta dan komuniti.

“Melalui insiatif CDERT, kita dapat memupuk keyakinan dalam diri setiap anggota untuk sentiasa tenang dan menangani kecemasan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran dan Pentauliahan anggota CDERT 2019, di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS Seksyen 14, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Roslan berkata, anggota CDERT diingatkan supaya menjaga tatacara dan kelakuan kerana setiap anggota membawa imej Pertahanan Awam Malaysia.

“Kementerian Pertahanan akan berusaha menyediakan segala keperluan yang diperlukan untuk CDERT supaya pelaksanaannya dapat berjalan dengan lancar,” katanya.


Pengarang :