AGENDANASIONAL

CEE 7, CEE 9 catat bidaan tertinggi

KUANTAN, 5 SEPT: Nombor pendaftaran CEE 7 dan CEE 9 mencatatkan bidaan tertinggi dengan masing-masing bernilai RM58,000 pada Bindaan Nombor Pendaftaran Secara Dalam Talian (JPJeBID) yang diperkenalkan kali pertama di Pahang.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohammad Abdullah berkata, secara keseluruhannya, bidaan nombor pendaftaran CEE yang bermula pada 30 Ogos hingga 3 September lalu memperoleh jumlah kutipan sebanyak RM1.02 juta.

“Ini adalah nilai kutipan bidaan tertinggi yang direkodkan setakat ini, dengan peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding siri nombor pendaftaran CED hanya memperoleh RM895,940.

“Peningkatan kali ini mungkin disebabkan pengenalan sistem JPJe-BID, yang memudahkan urusan bidaan orang awam selain promosi meluas oleh pihak JPJ,” katanya pada sidang media di Kompleks JPJ Pahang di Indera Mahkota di sini, hari ini.

Katanya, nombor pendaftaran CEE 96 mendapat bidaan tertinggi dengan 13 pembida diikuti CEE 11 (12 orang), CEE 33 (11 orang) manakala 9,575 nombor yang tidak dibida akan dibuka kepada umum.

Menurut beliau, mereka yang berjaya membuat bidaan nombor pendaftaran dikhendaki mendaftarkan nombor tersebut pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan.

“Jika mereka gagal berbuat demikian, maka surat keputusan bidaan akan dianggap sebagai luput, dengan bayaran yang dibuat tidak akan dikembalikan semula.

“Untuk orang awam yang berminat dengan nombor pendaftaran tidak dibida, mereka boleh berurusan di pejabat JPJ seluruh negeri, namun disarankan supaya mendaftar portal JPJ, Mysikap terlebih dahulu,” katanya.

Mohammad berkata, untuk JPJeBID pertama Pahang, sebanyak 1,879 resit dijual yang membawa kutipan RM18,790 dan daripada jumlah itu, 904 pembida mencuba nasib mendapatkan nombor pendaftaran idaman mereka, dengan 424 berjaya memperolehnya.

– BERNAMA


Pengarang :