AGENDASUKANKINI

Cristiano Ronaldo sedih mendiang bapa tidak lihat kejayaannya

SHAH ALAM, 18 SEPT: Penyerang Portugal dan Juventus, Cristiano Ronaldo mengakui sedih apabila mendiang bapanya, Dinis Aveiro tidak dapat bersama melihat kejayaanya sepanjang karier bola sepak.

Beliau berkata, pemergian bapanya ketika berusia 20 tahun banyak mengubah dirinya untuk menjadi yang terbaik dalam kehidupan serta sebagai seorang pemain bola sepak kini.

“Keluarga, ibu, abang termasuk anak sulung saya menyaksikannya (kejayaan), dia (mendiang bapa) tidak melihat apa-apa kerana meninggal muda.

“Saya perlukan klip ini dan mahu menunjukkannya kepada keluarga saya tetapi saya tidak tahu ayah 100 peratus. Dia seorang pemabuk. Saya tidak pernah bercakap dengannya seperti perbualan normal. Ia sukar.

“Kesedihan? Ia menjadi nombor satu, dia tidak melihat apa-apa dan tidak melihat saya menerima anugerah,” katanya.

Pemenang lima kali trofi Liga Juara-Juara Eropah itu gagal menyembunyikan linangan air matanya ketika menyaksikan klip video bapanya ketika ditemu ramah pada kejohanan Euro 2004.

Dalam satu temuramah khas ITV bersama Piers Morgan, Ronaldo mengakui tidak membenarkan ibunya, Maria Dolores dos Santos Aveiro, 64 daripada menonton perlawanan besar demi menjaga kesihatannya kerana sebelum ini pernah pengsan beberapa kali.

“Dia terlalu gemuruh. Sekarang dia tidak dibenarkan menonton perlawanan besar. Saya minta rakan untuk menemaninya dan dia bersiar-siar di sekeliling rumah. Dia pengsan dua kali di stadium. Dia gemuruh.

“Itu tidak mustahil. Saya tidak mempunyai ayah lagi dan tidak mahu kehilangan ibu jadi saya beritahu dia untuk tidak lagi menonton (perlawanan) separuh akhir atau akhir,” katanya.


Pengarang :