Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Cuepacs setuju umur bersara 65 tahun

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bersetuju kerajaan meneliti untuk meningkatkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun susulan cadangan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Menurut portal FMT, presidennya, Azih Muda berkata, cadangan itu adalah wajar, lebih-lebih lagi dalam keadaan beban sara hidup tidak menunjukkan penurunan dan keperluan untuk meneruskan kehidupan berkeluarga semakin berat.

“Justeru, kerajaan perlu melihat isu kekurangan dan kehilangan pendapatan serta ketiadaan simpanan yang cukup bagi menyokong kelangsungan kehidupan.

“Apatah lagi Malaysia adalah sebuah negara yang tergolong dalam negara “aging society”, jadi perlu dilihat keperluan untuk menyokong kehidupan golongan ini,” katanya.

Semalam, MTUC menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (Cola) bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020, selain meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.

Azih berkata, negara membangun dan maju juga telah meningkatkan tahap umur persaraan mereka.

Katanya, Singapura misalnya telah meluluskan umur persaraan sehingga 65 tahun.

Dalam pada itu, Azih berkata, Cuepacs turut mencadangkan supaya bayaran insentif Cola dinaikkan dan diselaraskan.

Beliau berkata, sektor swasta juga wajar mempertimbangkan insentif serupa kepada pekerja mereka.


Pengarang :