Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (tiga, kanan) bersama Datuk Mohamad Mat Yusof (dua, kiri) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media Ops Damn Tokan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dadah: 137,225 ditahan dari Januari hingga September

SEREMBAN, 30 SEPT: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menahan 137,225 individu atas pelbagai kesalahan dadah di seluruh negara, bagi tempoh 1 Januari hingga 26 September tahun ini.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, daripada jumlah itu, 20,613 ditahan kerana menjadi pengedar, manakala 51,018 (memiliki dadah) dan 65,594 orang (positif urin).

“9,512 mereka yang ditahan itu adalah warga asing,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Bagi tempoh sama, beliau berkata, sejumlah 18,709.01 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM2.69 billion dirampas, selain menyita harta bernilai RM62.81 juta dengan RM2.16 juta dilucut hak.

Mohd Khalil berkata, sehingga suku ketiga tahun ini, sebanyak 245 sarang penagih di seluruh negara digempur pihaknya dan daripada pemantauan mendapati, 141 sarang mula menunjkan tanda untuk aktif semula dan pihaknya akan mengerakkan semula operasi Ice Breaker bagi menanganinya.

Katanya, di Negeri Sembilan sahaja, 6,367 orang dengan 88 daripadanya adalah bekas pesalah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), ditahan bagi tempoh sama tahun ini.

Katanya, 30.6kg pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM611,404.45 dirampas, manakala sejumlah RM3.3 juta harta disita dengan RM731,362.70 dilucut hak.

Sementara itu katanya, dalam Op Damn Tokan yang dijalankan selama tiga hari bermula Jumaat lalu di negeri ini, seramai 107 orang yang berusia 20 hingga 50 tahun yang terbabit secara langsung dalam aktiviti perniagaan dadah secara kecil-kecilan, ditahan.

“Kita juga merampas 121.91kg dadah dengan nilai pasaran RM56,684. Kita juga meningkatkan cara melucut hak yang lazimnya dalam kes jenayah narkotik, melucut hak harta mereka yang terbabit dalam perdagangan dadah.

“Kesemua 107 yang ditahan, direman antara tiga hingga tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :