Amirudin Shari bersama pemenang selepas Pertandingan Debat dan Pidato Yayasan Selangor kali ke-11 2019 di Hotel Gocos, Klang pada 16 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Debat didik pelajar berfikir rasional – MB

KLANG, 16 SEPT: Bidang perdebatan mampu menjadi landasan terbaik untuk mendidik pelajar berfikiran lebih rasional, sekali gus melahirkan generasi yang bijak menilai ketepatan maklumat yang tular di media sosial.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pemikiran bijak ini akan memberi ruang kepada pelajar untuk membuat penilaian dalam segala hal secara adil dan saksama.

“Salah satu kerisauan masyarakat hari ini ialah budaya penularan berita palsu. Sekiranya generasi muda percaya bulat-bulat semua isu yang ditularkan di media sosial tanpa membuat perbandingan sama ada ia benar atau tidak, kita akan melahirkan generasi yang gagal ataupun kurang matang.

“Namun ia boleh dipatahkan sekiranya pelajar berfikiran lebih rasional dan tenang. Kerasional dan tenang itu perlu lahir daripada budaya atau kemahiran membezakan perkara benar dan perkara tidak benar, sama seperti bidang perdebatan,” katanya.

Pertandingan akhir debat anjuran Yayasan Selangor kali ke-11 antara Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Sekolah Sultan Alam Shah berlangsung di Hotel Gocos, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Debat dan Pidato Peringkat Kebangsaan anjuran Yayasan Selangor di Hotel Gocos, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Eddie Khodzali dan Pengerusi Pertandingan, Zahura Zakry.

Sebanyak 40 pasukan debat, 46 peserta pidato Bahasa Melayu dan 35 peserta pidato Bahasa Inggeris menyertai pertandingan, kali ini.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri menyokong penganjuran acara itu yang dilihat mampu mencungkil bakat pelapis debat yang berkualiti demi mempersiapkan pasukan sekolah dalam bidang pengucapan awam bagi mengharumkan nama sekolah seterusnya menggarap kejayaan di pentas nasional mahupun global.

“Yayasan Selangor sebagai agensi yang membawa misi pendidikan Selangor harus memastikan pendidikan memenuhi aspirasi negara dengan melahirkan modal insan seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani serta membudayakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Ia penting dalam mendepani perubahan landskap pendidikan dan cabaran abad ke-21. Konsep pengajaran dan pembelajaran yang kondusif, terbuka, interaktif, menarik dan berpusatkan murid menjadi trend terkini,” katanya.


Pengarang :