AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dr Dzulkefly: Bersuara untuk keselamatan pesakit

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Semua pihak berkepentingan dalam sistem penjagaan kesihatan termasuk pesakit, pembuat dasar dan badan profesional perlu bersuara demi keselamatan pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka juga perlu menyuarakan kebimbangan berhubung amalan dan alam sekitar yang tidak selamat serta bahaya dalam kemudahan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, pesakit perlu diperkasakan untuk bersuara dan mengajukan pertanyaan kepada kakitangan penjagaan kesihatan jika mempunyai keraguan atau kebimbangan berhubung rawatan yang diberikan atau amalan kakitangan penjagaan kesihatan.

Katanya, kakitangan penjagaan kesihatan juga mesti bersedia mendengar saranan pesakit dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kajian menunjukkan bahawa bersuara mempunyai kesan pencegahan segera terhadap kesilapan manusia dan dapat membantu memperbaiki kekurangan teknikal dan sistem serta mencegah kejadian buruk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia di Malaysia dan Seminar Keselamatan Pesakit 2019, di sini semalam.

Dr Dzulkefly menarik perhatian kepada enam insiden tinggi membabitkan keselamatan pesakit di Malaysia dari 2016-2018 iaitu salah pembedahan, tertinggal benda secara tidak sengaja dalam badan, kesilapan transfusi nyata, kesilapan medikasi, pesakit dewasa terjatuh dan pesakit pediatrik terjatuh.

Insiden salah pembedahan menyaksikan peningkatan pada 2018 dengan 11 kes daripada lima pada 2017, pesakit dewasa terjatuh meningkat kepada 3,547 tahun lepas daripada 2,934 pada 2017, manakala kesilapan transfusi mencatatkan 47 kes tahun lalu daripada 35 pada 2017.

Beliau berkata, ini menunjukkan bahawa keselamatan pesakit adalah penting dan kritikal, sambil menambah bahawa kerajaan sedang berusaha untuk menggalakkan penjagaan kesihatan berasaskan nilai yang menekankan pada keselamatan pesakit, pengalaman pesakit dan jangkaan pesakit.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan keselamatan pesakit termasuk penubuhan Majlis Keselamatan Pesakit pada 2003 untuk menerajui usaha peningkatan keselamatan pesakit secara nasional.

Selain itu, katanya, kerajaan turut memperkenalkan Matlamat Keselamatan Pesakit Malaysia pada 2013 untuk menggariskan bidang utama keutamaan untuk keselamatan pesakit dan penanda aras pencapaian keselamatan pesakit di Malaysia.

Sebagai simbol solidariti global dalam menjadikan keselamatan pesakit sebagai keutamaan global, Dr Dzulkefly berkata, Pengurusan Menara KL bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menerangi Menara Kuala Lumpur dengan cahaya lampu berwarna jingga malam ini.

Selain Menara Kuala Lumpur, Tiga Piramid di Giza, Kaherah dan air pancut Jet d’Eau di Geneva turut bermandikan cahaya jingga bagi meraikan Hari Keselamatan pesakit Sedunia.

Sementara itu, Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Strategik Amanah berkata Pakatan Harapan tidak perlu gusar dengan kerjasama antara UMNO dan PAS kerana kekuatan utama parti gabungan itu adalah mampu mengurus perbezaan kaum, agama dan budaya.

“Kerajaan akan terus membawa kemakmuran bersama, memulihkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan belia serta usaha dan misi untuk melahirkan sebuah masyarakat yang dapat tangani pelbagai jurang itu,” katanya.

Sabtu lalu, UMNO dan PAS memeterai perjanjian kerjasama politik (Piagam Muafakat Nasional) dan langkah itu menandakan permulaan kerjasama politik antara kedua-dua parti pembangkang berkenaan.

Dr Dzulkefly berkata membentuk sebuah gabungan politik berdasarkan mono-etnik dan mono-agama adalah sukar bagi Malaysia baharu dengan demografi campuran.

“Kalau mereka (UMNO-PAS) mengambil pendekatan bersifat ekstremisme sayap kanan yang saya tidak kata mereka begitu, tetapi kalau mereka membawa agenda itu, bertambahlah sukar untuk Malaysia Baru menerima politik sebegini,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :