Anggota bomba dan polis mengusung salah satu mayat mangsa dihempap pokok di Air Terjun Lata Hammer, Bentong, Pahang pada 1 September 2019. Foto Ihsan Pasukan Bomba dan Penyelamat
AGENDANASIONAL

Dua maut, dua cedera dihempap pokok besar

BENTONG, 1 SEPT: Kegembiraan sekumpulan 25 rakan menghabiskan cuti Hari Kemerdekaan mengundang padah apabila dua maut manakala dua lagi cedera dihempap pokok tumbang ketika berkhemah di Air Terjun Lata Hammer di sini pada kira-kira pukul 10 malam tadi.

Dalam kejadian tersebut, dua mangsa yang terbunuh ialah Winnie Tan Gaik Kin, 40-an, beralamat di Kuala Lumpur dan Chin Kean Hwa, 50-an dari Puchong, Selangor.

Kedua-dua mangsa itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, dua lagi pengunjung iaitu Tan Wai Hong, 40-an, dari Kuala Lumpur dan Leong Yau Lai, 30-an dari Teluk Intan, Perak mengalami kecederaan.

Menurut beliau, siasatan mendapati ketika kejadian kesemua 25 sahabat itu berada di dalam khemah yang didirikan di bawah pokok yang ukur lilitnya dua meter dan berketinggian kira-kira 30 meter.

“Kira-kira jam 10 malam, pokok besar anggaran dua pemeluk itu tumbang dan menghempap kumpulan yang berkhemah di situ. Ketika kejadian cuaca dilaporkan baik,” kata beliau pagi tadi.

Katanya, akibat kejadian itu, Winnie dan Kean Hwa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia manakala dua lagi mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Anggota bomba memberi bantuan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum dibawa turun untuk dihantar ke hospital.

Yusuf berkata, susulan maklumat diterima pihaknya bersama anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong ke lokasi dan tiba kira-kira jam 12.27 pagi tadi untuk operasi bantuan menyelamat.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan memaklumkan, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba membuat perawatan awal kepada mangsa yang cedera.


Pengarang :