Amirudin Shari (tengah), Exco Kerajaan Negeri Mariah Mahmud (kiri) dan Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain (kanan) bercakap kepada media selepas Seminar Perdana Kesedaran, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah dan Sistem E – Locator di Shah Alam Convention Centre, pada 17 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

e-Locator mudahkan urusan kes mahkamah

SHAH ALAM, 17 SEPT: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) melancarkan aplikasi dalam talian, e-Locator bagi memudahkan orang awam membuat carian menentukan bidang kuasa Mahkamah Syariah di Selangor yang perlu mereka tuju bagi pemfailan kes.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau memuji inisiatif JAKESS dalam melaksanakan aplikasi terbabit yang sedikit sebanyak dapat membantu orang awam sekali gus selaras dengan usaha menjadikan Selangor ke arah bandar pintar.

Katanya, inisiatif itu bertepatan dengan Strategi kelima Belanjawan Selangor yang mahu menumpu usaha untuk meningkatkan kecemerlangan dalam kecekapan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Amirudin Shari ketika melancarkan Seminar Perdana Kesedaran, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah dan Sistem E – Locator di Shah Alam Convention Centre, pada 17 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sistem aplikasi ini dapat mengelakkan kerugian masa dan kos kepada orang awam khususnya apabila mereka tersilap memfailkan kes di mahkamah yang bukan bidang kuasa kepada permasalahan itu.

“Melalui aplikasi ini, mereka akan dapat mengetahui secara terus berkaitan apa sahaja maklumat diperlukan sebagai contoh lokasi Mahkamah Syariah yang perlu dituju untuk mendengar kes mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Seminar Perdana Kesedaran Undang-undang Syariah, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Selangor dan Sistem e-Locator di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau menzahirkan tahniah kepada JAKESS kerana menerima pelbagai pengiktirafan daripada Malaysia Productivity Corporation (MPC) di peringkat Wilayah dan Kebangsaan.

“Saya difahamkan sistem ini berjaya merangkul Anugerah Emas Tiga Bintang dalam program National Team Excellence sempena Annual Productivity and Innovation Conference and Exposition.

“Semoga dengan pembangunan ini, urusan pelanggan JAKESS akan menjadi lebih mudah sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan diberikan,” katanya.


Pengarang :