Exco Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi merangkap Pengerusi Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Selangor, Rodziah Ismail menjawab pertanyaan peserta dalam Dialog Membincangkan Masa Depan Penjaja dan Peniaga Kecil dalam Aspek Pembangunan Usahawan Kecil di Selangor.
AGENDANASIONAL

Elak menjaja selamanya, ceburi e-dagang luaskan pasaran

SHAH ALAM, 5 SEPT: Para penjaja disarankan supaya tidak cepat berpuas hati dengan keadaan yang ada, sebaliknya berusaha mencari peluang baru untuk meluaskan pasaran perniagaan masing-masing.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, antaranya dengan mengambil peluang ke atas kepesatan pasaran e-dagang.

“Kadang-kadang kita lihat ada penjaja dah 20 tahun menjaja tetapi dia masih lagi kekal di tahap itu sahaja sebagai penjaja dan tidak berkembang.

“Sepatutnya mereka perlu meneroka pasaran baru iaitu e-dagang yang mempunyai pasaran jauh lebih besar untuk meningkatkan potensi keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Membincangkan Masa Depan Penjaja dan Peniaga Kecil Dalam Aspek Pembangunan Usahawan Mikro Selangor di Menara Bank Rakyat di sini, hari ini.

Ketika ditemui media, Rodziah berkata, Kerajaan Negeri menerusi pelbagai agensinya sudah lama menjalankan usaha membimbing penjaja menerokai perniagaan e-dagang.

Katanya, agak mengejutkan apabila terdapat penjaja yang berumur lebih 50 tahun mampu mempelajari ilmu e-dagang dengan cepat.

“Ada yang terkejut dah dapat tempahan dengan cepat dan terbaru kita bergandingan dengan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia dengan menyediakan Perkhidmatan eDagang Setempat (PeDAS).

“Mereka boleh pergi ke pusat internet desa untuk belajar dan agak terkejut dalam masa dua jam mereka boleh muat naik produk masing-masing untuk dipasarkan di Shopee,” katanya.


Pengarang :