EXCOSELANGOR

Enakmen pengurusan sampah usaha jadikan Selangor negeri bersih

SHAH ALAM, 3 SEPT: Enakmen pengurusan sampah perlu diperkenalkan dalam usaha menjadikan Selangor negeri bersih.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, menerusi enakmen itu, penguatkuasaan boleh dipertingkatkan.

“Enakmen ini pernah dibincangkan pada 2015 dan ia masih dalam perbincangan seterusnya ke Sidang Dewan Negeri.

“Saya berharap ia akan berjaya dilaksanakan untuk memastikan ada satu undang-undang yang diperketat dan diperkemaskan bagi merealisasikan hasrat negeri bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog bajet 2020 Smart Desa Selangor : Bersih dan Sejahtera, di Hotel Concorde, di sini.

Lebih 500 hadir sesi dialog bajet itu, termasuk Ketua Kampung, Penghulu, Ahli Dewan Negeri dan kakitangan awam.

Pada 2015, kerajaan negeri telah mendrafkan Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal Selangor untuk mengawal isu pelupusan sampah dan juga perlesenan kontraktor pelupusan sampah.

Pada masa sama, Rodziah berkata, terdapat 522 buah kampung di seluruh negeri menjadikan cabaran besar buat KDEB Waste Management (KDEBWM) menguruskan sisa domestik.

Justeru, katanya, peruntukan tambahan juga boleh dilihat semula oleh Kerajaan Negeri kepada KDEBWM bagi memastikan kelancaran kutipan sampah di kampung-kampung berkenaan.


Pengarang :