AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Enam titik panas di Malaysia bukan punca jerebu

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Enam titik panas dikesan dalam hutan simpan di Semenanjung Malaysia namun ia bukan punca jerebu dalam negara, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar.

Menurutnya, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) melalui cerapan imej satelit telah mengesan enam titik panas pada 17 dan 18 September iaitu tiga di Johor, dua di Pahang dan satu di Terengganu.

“Ia adalah terkawal dan tidak menjadi punca jerebu dalam negara,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Berikutan keadaan jerebu, Xavier berkata, semua Jabatan Perhutanan Negeri termasuk Sabah dan Sarawak diingatkan untuk membuat pemantauan berterusan bagi mengenal pasti titik panas dan mengawal kejadian kebakaran terutamanya yang diwartakan sebagai hutan simpanan kekal (HSK).

Antara tindakan pencegahan kebakaran di kawasan HSK yang dilaksanakan JPSM termasuklah menubuhkan pasukan khas yang dikenali sebagai Semut Merah, yang terdiri daripada anggota Jabatan Perhutanan Negeri untuk memadam dan mengawal kebakaran.

“Telaga tiub juga dibina dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains di kawasan-kawasan titik panas yang dikenal pasti, dengan jumlah keseluruhan yang ada pada masa ini ialah 85 buah,” katanya.

Xavier dalam pada itu meminta semua kerajaan negeri menerima pakai prosedur operasi standard (SOP) pewartaan keluar HSK bagi menjamin kejayaan usaha pengukuhan program penghutanan semula kawasan berhutan negara.

“Sokongan kuat dan pematuhan kerajaan negeri terhadap SOP yang disediakan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mampu membantu kerajaan ke arah mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan,”katanya.

Antara SOP tersebut ialah mana-mana kawasan HSK yang diwarta keluar perlu diganti dan mempunyai keluasan dan nilai setara serta mengenakan kos memulihkan kawasan ganti dan siaran warta keluar dan warta kawasan ganti perlu dibuat serentak, katanya.

Xavier berkata, antara yang termaktub dalam SOP itu ialah meminta kerajaan negeri memastikan konsesi yang memegang lesen pembalakan menggantikan setiap satu pokok yang ditebang dengan dua pokok baharu yang ditanam.

“Malah, SOP itu turut mencadangkan supaya pemegang konsesi pembalakan atau sebagainya membayar kepada Dana Pemuliharaan Biodiversiti yang diwujudkan kementerian bagi pelaksanaan penghutanan semula dengan mengambil kira kehilangan biodiversiti kawasan HSK tersebut,” katanya.

Menurutnya, Malaysia diliputi 18.27 juta hektar kawasan berhutan atau hampir 55.3 peratus daripada keluasan tanah negara.

Daripada jumlah itu, 11.62 juta hektar atau 35 peratus telah diwartakan oleh kerajaan-kerajaan negeri sebagai HSK yang diurus secara mampan menerusi amalan pengurusan hutan secara berkekalan, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :