Pemandangan Bandar Raya Shah Alam yang dilanda jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 145 iaitu tahap tidak sihat ketika dirakam pada 11 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Laksana pembenihan awan di kawasan IPU lebih 200

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 SEPT: Kerajaan Negeri mengambil ketetapan untuk melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, iaitu ditahap sangat tidak sihat.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, langkah itu dipersetujui Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), semalam.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah dan negeri juga perlu diaktifkan apabila IPU mencatatkan bacaan antara 151-200 (melebihi 24 jam) iaitu tahap tidak sihat selain membekalkan dust mask (penutup muka) kepada orang awam.

“Semua sekolah, tadika dan taska diarah tutup serta merta sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 200 selepas mendapat pengesahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

“Bagi menangani masalah jerebu ini, Kerajaan Negeri mengunapakai Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang dikeluarkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Loy Sian turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa dan tidak melakukan pembakaran terbuka selain bekerjasama memadam kebakaran kecil.

Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong, memakai topeng hidung dan mulut sebagai langkah keselamatan ekoran keadaan jerebu pada tahap tidak sihat pada 12 September 2019.-Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar rumah dan mengikuti makluman IPU semasa yang boleh dimuat turun melalui aplikasi MyIPU untuk maklumat kualiti udara bagi semua stesen pemantauan di seluruh negara.

“Untuk mendapatkan maklumat IPU semasa di kawasan masing-masing, orang ramai boleh memuat turun aplikasi MyIPU daripada Google Play atau App Store secara percuma di telefon pintar atau melalui laman sesawang JAS www.doe.gov.my atau apims.doe.gov.my,” katanya.

Tahap bacaan IPU Baik (bawah 50), Sederhana (IPU 51 hingga 100), Tidak Sihat (IPU 101 hingga 200), Sangat Tidak Sihat (IPU 201 hingga 300) dan Berbahaya (IPU melebihi 300).

Orang awam yang mahu menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka juga boleh menghubungi JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Ibu Pejabat JAS Malaysia (03-88712000) atau menghubungi Bilik Kawalan JAS Selangor (03-55197233).


Pengarang :