EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi Dan Inovasi, Hee Loy Sian. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Pembenihan awan dibuat selewatnya esok

MORIB, 14 SEPT: Operasi pembenihan awan dijangka akan dilakukan selewat-lewatnya esok bagi mengurangkan kesan jerebu di Selangor.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, sepatutnya operasi itu dilakukan hari ini namun keadaan cuaca dilihat kurang bersesuaian.

Katanya, untuk melakukan operasi pembenihan awan cuaca perlu berada dalam keadaan baik dan sekiranya hujan ia tidak dapat dilaksanakan.

“Bagaimanapun, untuk melaksanakan operasi itu ia memerlukan pelbagai peralatan dan saya difahamkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sentiasa bersiap siaga dan hanya menunggu arahan untuk digerakkan.

“Kerajaan Negeri juga memandang serius isu ini dan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas Majlis Perasmian Pesta Morib dan Kempen 3R (kurang, guna semula dan kitar semula) serta #BebasPlastik peringkat Kuala Langat 2019 di Pantai Morib di sini, hari ini.

Pada masa sama, Loy Sian turut menzahirkan kesyukuran berikutan cuaca hujan pada malam dan awal pagi tadi yang dijangka dapat mengurangkan sedikit bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) jerebu di Selangor.

“Namun, kita jangan terlalu gembira dan memandang ringan sebaliknya orang ramai perlu mengambil langkah berwaspada serta mengurangkan aktiviti di luar rumah.

“Jika perlu keluar, saya nasihatkan untuk memakai topeng mulut dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan meminum air mineral,” katanya.

Terdahulu, kualiti udara di Selangor menunjukkan beberapa kawasan berada dalam paras tidak sihat serta sangat tidak sihat.

Berdasarkan data dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), stesen Johan Setia, Klang berada pada tahap tidak sihat apabila bacaan IPU mencatatkan bacaan 164 setakat jam 2 petang tadi berbanding sebelum ini, sangat tidak sihat.

Manakala, lima lagi stesen di Selangor turut menunjukkan bacaan IPU tidak sihat ialah Kuala Selangor (114), Petaling Jaya (140), Shah Alam (135), Klang (134) dan Banting (149).


Pengarang :