Datuk Hamidin Mohd Amin mengiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Gelang Patah, semalam. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

FAM bincang hantar pemain ke kelab K-League minggu depan

ISKANDAR PUTERI, 5 SEPT: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) bagi membincangkan program latihan membabitkan pemain negara di kelab di bawah Liga Korea (K-League), minggu hadapan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pertemuan dengan rakan sejawatnya Chung Mong Gyu adalah kesinambungan usaha dibuat pihaknya sebelum ini yang mengadakan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) untuk membolehkan pemain Malaysia menimba ilmu bersama kelab JFA.

Katanya, antara yang akan dibincangkan adalah hasrat FAM untuk menghantar sekurang-kurangnya seorang atau dua pemain Malaysia bagi mengikuti latihan bersama pasukan kelab di Korea Selatan.

“Kita tahu Jepun dan Korea Selatan adalah salah satu contoh ataupun pasukan berdisiplin tinggi dan negara ini layak ke Piala Dunia secara berterusan. Jadi, ini perlu dicontohi tetapi kita harus juga bersabar dan terus berusaha,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Gelang Patah, semalam.

Enam pemain bola sepak muda negara termasuk bintang skuad bawah-18 tahun kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin mendapat peluang keemasan untuk berguru di Jepun secara berperingkat bermula Selasa.

Luqman Hakim, Muhammad Firdaus Kaironnisam, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Imran Sukari menimba ilmu dengan Cerezo Osaka bermula 3 hingga 13 September ini.

Peringkat kedua pula bakal menyaksikan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd Khalili bersama Luqman Hakim sekali lagi akan ke JFA Academy dan FC Tokyo pada Oktober nanti.

Pada Ahad lalu, FAM memberitahu akan menghantar enam pemain bola sepak muda negara ke Jepun secara berperingkat untuk menimba ilmu di sana.

Hamidin berkata, sepanjang keberadaan di sana, semua pemain tersebut akan dinilai prestasi mereka sebelum boleh dipertimbang untuk beraksi dengan kelab-kelab Jepun.

“Jadi di sini, komitmen daripada pemain perlu kita tagih supaya mereka bersedia bermain di luar negara dan meninggalkan keluarga untuk mendapatkan sesuatu perkara yang berlainan,” katanya.

Ditanya berhubung sesetengah pihak yang mempertikai tempoh latihan hanya dua minggu dan dilihat tidak mendatangkan impak berkesan terhadap pemain, Hamidin berkata, semua pihak sebenarnya harus memahami inti pati Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara FAM dan JFA.

“Dua minggu itu adalah untuk percubaan dan memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda ini tentang bagaimana kelab profesional di Jepun bermain.

“Kalau kita tidak berusaha melakukannya (MoU), kita tidak akan dapat, malah bukan senang untuk kita buat permintaan dengan kelab profesional untuk mengadakan kerjasama,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :