BERITA UTAMASELANGOR

FAS Soccer School cungkil bakat si cilik

SHAH ALAM, 29 SEPT: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melancarkan program pembangunan akar umbi pertama dikenali sebagai ‘FAS Soccer School’ bagi mencungkil bakat si cilik untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

Pelancaran program berkenaan disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, di Padang Latihan SUK, Seksyen 5, di sini, hari ini.

Program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor itu membabitkan lima buah sekolah kebangsaan di negeri ini antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Anggerik (Petaling Perdana), SK Kota Kemuning (Klang), SK Sungai Binjai (Klang), SK Sri Kelana (Petaling Utama) dan SK SS6 Kota Damansara (Petaling Utama).

Tengku Amir yang juga Presiden FAS bertitah, program berkenaan akan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat bertepatan dengan pelan pembangunan lima tahun persatuan bola sepak itu.

“Untuk memastikan kualiti dan kelestarian program ini, FAS bertanggungjawab untuk menyediakan kepakaran khidmat jurulatih, kursus kejurulatihan, peralatan bola sepak dan peluang permainan kepada murid terbabit.

“Sementara itu, sekolah-sekolah yang terlibat juga bertanggungjawab untuk menyediakan padang bola sepak, manakala guru-guru akan menjadi jurulatih kepada murid mereka,” titah baginda ketika berucap pada majlis berkenaan.

Dalam majlis itu, Tengku Amir berkenan menyampaikan sijil pelantikan kepada sekolah yang terpilih sebagai ‘FAS Soccer School’ selain menandatangani memorandum persefahaman (MoU) FAS bersama Les’ Copaque dan Westports Malaysia.

Baginda turut mencemar duli turun ke padang latihan bersama-sama pelatih dan menyaksikan sendiri kira-kira 400 pemain yang menyertai Klinik Bolasepak ‘FAS Soccer School’.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon ketika ditemui berkata, program pembangunan itu menjadi titik permulaan kepada kanak-kanak di Selangor yang mempunyai semangat juang tinggi untuk menyertai ‘FAS Homegrown Pathway’.

Katanya, kegigihan dan keazaman serta iltizam akan meletakkan kanak-kanak berkenaan di laluan tepat untuk menjadi pemain bola sepak yang berkualiti, sekali gus mengharumkan nama Selangor kembali dekat dengan hati rakyat.

“Kami merasakan hubungan kerjasama antara FAS dan rakan sekolah rasmi adalah satu persetujuan yang boleh dilaksanakan pasukan bola sepak lain kerana ia memberi banyak faedah kepada kedua-dua pihak.

“Dengan menjadi sebahagian daripada FAS Soccer School, kanak-kanak ini akan didedahkan kepada latihan yang berkualiti oleh jurulatih yang diiktiraf Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di samping bermain dalam suasana kondusif untuk pembangunan mereka,” katanya.


Pengarang :