AGENDANASIONAL

Gangguan air di Penjara Sungai Buloh pulih

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Gangguan bekalan air di Penjara Sungai Buloh sejak Selasa (27 Ogos) akibat paip pecah telah pulih dan rutin di penjara itu kembali seperti biasa.

Seorang jurucakap penjara itu ketika dihubungi Bernama berkata, bekalan air pulih semalam apabila masalah kebocoran paip utama di situ ditangani oleh pihak berkenaan.

“Bekalan air telah pulih sepenuhnya pada jam 2 petang Sabtu. Tiada lagi kekurangan bekalan air seperti yang dilaporkan oleh media hari ini,” katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh gangguan, pihak penjara menerima bekalan air daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi kegunaan penghuni dan dapur penjara.

Sebuah portal berita melaporkan tentang maslah kekurangan air yang teruk di Penjara Sungai Buloh sejak lima hari lepas sehingga menyukarkan kehidupan seharian para penghuni.

Laporan itu memetik seorang peguam Hannan Ishak sebagai berkata, gangguan bekalan air itu menyukarkan penghuni penjara untuk ke tandas, membersihkan diri dan menunaikan solat.

Hannan menceritakan tentang keadaan yang dialami oleh anak guamnya yang kini ditahan reman di penjara Sungai Buloh itu.

– BERNAMA


Pengarang :