AGENDANASIONAL

Gangguan rangkaian sistem KLIA belum ada petunjuk kukuh

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum mempunyai petunjuk kukuh bagi mengaitkan insiden gangguan rangkaian sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan perbuatan sabotaj.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan masih dijalankan dengan polis mengambil kira pandangan pakar dalam bidang membabitkan teknologi.

“Masih tiada lagi petunjuk drastik untuk kami memastikan sama ada berlaku sabotaj atau tidak.

“Polis masih meneliti kenyataan yang diambil sebelum ini terhadap beberapa individu yang dipanggil,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar ke Unit Tindakan Khas (UTK) di sini, hari ini.

Setakat ini, 12 individu dipanggil untuk membantu siasatan berhubung gangguan sistem di KLIA yang berlaku selama empat hari bermula 21 Ogos lalu.

Empat pegawai bahagian Teknologi Maklumat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sebelum ini membuat laporan polis bagi menafikan pembabitan mereka dalam insiden gangguan rangkaian sistem di KLIA baru-baru ini.

-BERNAMA


Pengarang :