Pemain Kebangsaan, Mohamadou Sumareh (kiri) menjaringkan gol pertama Malaysia pada minit ke-37 bagi menyumbang kemenangan Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi sulung pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta pada 5 September 2019. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Garuda patah sayap dibaham Harimau Malaya

JAKARTA, 6 SEPT:  Lebih 75,000 penyokong fanatik di Stadium Gelora Bung Karno
menjadi saksi Sang Garuda patah sayap dibaham Harimau Malaya dalam pertembungan dramatik kumpulan G Kelayakan Piala Dunia malam tadi.

Lebih mendebarkan, kemenangan 3-2 Harimau Malaya diraih menerusi dua kali
kebangkitan selepas ketinggalan 1-0 dan 2-1.

Berbekalkan sokongan padu penyokong sendiri dan provokasi penyokong pelawat,
tuan rumah bermula garang pada separuh masa pertama dengan melancarkan
beberapa serangan.


Kereta perisai yang dipercayai digunakan untuk membawa pemain pasukan bola Malaysia pulang ke hotel mereka selepas berjaya menewaskan pasukan tuan rumah di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September 2019. Foto BERNAMA

Malaysia yang lewat menemui rentak permainan, dihukum seawal minit ke-12
apabila pemain sayap Saddil Ramdani berjaya melepasi tiga pertahanan skuad
negara sebelum disudahkan penyerang, Beto Goncalves menewaskan kapten pasukan,
Farizal Marlias.

Malaysia hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi sepakan percuma
Safawi Rasid.

Bagaimanapun, percubaan pertama pasukan negara itu sedikit tersasar di sebelah
kanan penjaga gol Indonesia, Andritany Ardhiyasa.

Keputusan jurulatih, Tan Cheng Hoe memasukkan pemain gantian, Mohamadou
Sumareh berbaloi apabila sentuhan pertamanya pada minit ke-36 menemui gawang lawan untuk menyamakan kedudukan satu sama.

Bagaimanapun, kealpaan barisan pertahanan negara menyebabkan kedudukan itu tidak bertahan lama berikutan Beto Goncalves meledak gol kedua Indonesia dari luar kotak penalti pada minit ke-39.

Masuk separuh masa kedua, permainan pasukan negara tampak lebih kemas dan
bertenaga dengan melancarkan beberapa serangan mencemaskan kubu lawan.

Selepas beberapa siri percubaan, akhirnya Malaysia kembali mengikat kedudukan
dua sama menerusi tandukan Syafiq Ahmad pada minit ke-66 selepas menerima
umpanan kemas Safawi Rasid.

Tempo menyerang Harimau Malaya sedikit terganggu apabila permainan dihentikan
hampir lima minit disebabkan gangguan penyokong tuan rumah.

Memasuki masa tambahan selama lapan minit, anak buah Cheng Hoe menggandakan
asakan bertali arus dengan sesekali dibalas pasukan lawan.

Kesungguhan pemain negara akhirnya terbalas apabila Sumareh menjaringkan gol
kemenangan pada minit ke-98.

Keputusan 3-2 memihak kepada pelawat kekal sehingga pengadil Korea Selatan, Ko
Hyungji meniupkan wisel penamat.

Sementara itu, menurut Bernama, Skuad Harimau Malaya terpaksa dibawa keluar
dari stadium menaiki kereta perisai sejurus kejayaan menewaskan Indonesia.

Kesemua 24 pemain dan pegawai pasukan negara terpaksa menaiki kereta perisai
barracuda ke hotel penginapan atas faktor keselamatan.

Menurut sumber, kira-kira lima kereta perisai difahamkan membawa keluar
kesemua pemain dan pegawai pasukan kebangsaan untuk mengelak diserang
penyokong tuan rumah selain sebuah bas turut digunakan sebagai umpan untuk
mengalih perhatian mereka.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya pernah melalui pengalaman sama selepas
dikepung dan dibaling objek keras ketika menjulang Piala AFF 2010 selepas
melakar kemenangan agregat 4-2 ke atas Indonesia.

Pada Sukan SEA 2011, situasi sama berlaku apabila pasukan negara sekali lagi
dibawa menaiki kereta perisai barracuda selepas berdepan provokasi penyokong
tuan rumah.


Pengarang :