AGENDANASIONAL

Gerakan koperasi boleh bantu tangani peningkatan kos sara hidup

CYBERJAYA, 21 SEPT: Gerakan koperasi boleh memainkan peranan besar dalam membantu golongan berpendapatan rendah (B40) di bandar dan luar bandar bagi menangani peningkatan kos sara hidup, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sumbangan koperasi bukanlah semata-mata mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi perlu dilihat daripada aspek peningkatan kuasa beli rakyat yang membawa kepada kemakmuran bersama.

“Dalam konteks berkoperasi, kuasa yang ada di tangan kita adalah dalam menentukan harga patut dengan kualiti dan jaminan penggunaan,” katanya menyampaikan amanat kepada 20,000 ahli Gerakan Koperasi pada majlis Countdown Hala Tuju Koperasi Selepas 100 Tahun, di sini hari ini.

Mengambil contoh di Jepun, Dr Mahathir berkata Japanese Consumer Co-operative Union (JCCU) merupakan gabungan 320 koperasi pengguna dan dianggotai oleh 29 juta orang.

Katanya, mereka bukan sekadar menguasai segmen pasaran dengan membekalkan barangan keperluan harian tetapi mampu menawarkan persekitaran yang lestari kepada komuniti setempat.

-BERNAMA


Pengarang :