AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Guna kamera di badan penguat kuasa elak salah laku

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi menangani kes salah laku pegawai termasuk rasuah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya syor penggunaan kamera badan itu dipersetujui memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas seperti memukul orang yang disiasat.

“Pegawai akan pasang kamera di badan dia dan apabila dia bercakap atau orang bercakap boleh rekod. Kita boleh lihat apa yang dilakukan oleh pegawai ke atas pelanggan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

“Sudah tentu pegawai itu akan menafikannya tetapi pelanggan akan menegaskan bahawa dia telah dipukul, jadi antara kedua-dua mereka kita ingin tahu siapa yang betul.

“Apabila kita mempunyai kamera kita akan tahu sama ada dakwaan terhadap pegawai berkenaan ada asas ataupun tidak,” kata Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata tarikh pelaksanaannya belum diputuskan memandangkan ia melibatkan kos kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, selain kamera badan, mesyuarat JKKMAR turut bersetuju supaya penggunaan teknologi dalam operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dipertingkatkan dengan mewujudkan pusat kawalan setempat, pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan menambah mesin pengimbas berteknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta Alat Bantuan Operasi (ABO).

Katanya ini berikutan negara mengalami kebocoran hasil di pintu keluar masuk antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun akibat masalah integriti pegawai dan kekurangan peralatan teknologi terkini.

Dr Mahathir berkata pemantauan dengan pemasangan CCTV turut akan dipertingkatkan di pintu-pintu masuk negara dan depot tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memantapkan pemeriksaan serta meningkatkan kecekapan jabatan itu dan integriti pegawainya.

Selaras dengan janji kerajaan untuk menjadikan Polis Difaja Malaysia (PDRM) pasukan yang dihormati dan disegani, katanya penyelenggaraan dan penggunaan CCTV dalam lokap-lokap PDRM akan dipertingkatkan bagi memastikan ketelusan, mencegah salah laku dan menangani masalah kematian dalam tahanan.

“Lokap perlu mempunyai kamera supaya kita tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Dr Mahathir berkata, terdapat permintaan daripada PDRM, JKDM dan JIM bagi menambah pegawai susulan penambahan bilangan pelancong dan pekerja asing ke negara ini.

Katanya walaupun ketika ini jumlah kakitangan awam terlalu ramai sehingga mencecah 1.7 juta orang, namun kerajaan perlu memikirkan kaedah yang sesuai bagi memastikan operasi ketiga-tiga jabatan itu tidak terjejas akibat kekurangan pegawai.

“Mungkin kita boleh tukarkan beberapa orang yang sudah bekerja untuk tugas yang lebih penting kerana kita tak boleh tambah terlalu banyak memandangkan kita tak mempunyai wang yang cukup,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata mesyuarat JKKMAR juga mengambil maklum bahawa satu arahan Perdana Menteri akan disediakan mengenai panduan dan tatacara pengeluaran penyataan sokongan dalam apa jua bentuk oleh anggota pentadbiran.

Katanya arahan itu turut terpakai kepada semua pegawai awam di peringkat persekutuan, dan juga dipanjangkan serta tertakluk kepada penerimaannya di peringkat negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Menjelang sesi ucapan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober, Dr Mahathir berkata kerajaan akan memastikan bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berintegriti tinggi dan pengurusan governans yang baik terus dilaksanakan melalui inisiatif-inisiatif dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

-BERNAMA


Pengarang :