AGENDANASIONAL

Guru jangan ambil tindakan sendiri, serah pelajar nakal kepada guru besar

KOTA KINABALU, 29 SEPT: Guru-guru di Sabah diingatkan supaya tidak bertindak di luar kawalan sehingga boleh mendatangkan kecederaan kepada murid sebaliknya menyerahkan kes-kes murid tidak mendengar arahan atau melanggar disiplin kepada guru besar untuk tindakan.

Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin berkata, ini kerana hanya guru besar sahaja dibenarkan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan hukuman rotan terhadap murid berdasarkan peraturan sedia ada yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Guru-guru diminta bersikap profesional dan jika murid nakal atau guru sudah tidak dapat mengawal keadaan, hantar sahaja murid berkenaan kepada guru besar (untuk dikenakan hukuman) dan jangan ambil tindakan sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan seorang guru wanita di sebuah sekolah rendah di Likas, dekat sini, yang dikatakan menyepit telinga seorang murid lelaki Tahun Empat dengan ‘stapler’ selepas murid itu gagal menyiapkan tugasan Matematik diberikan, Jumaat lepas.

Mistirine berkata, jabatannya telah menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan meminta Pejabat Pendidikan Daerah untuk pergi ke sekolah berkenaan esok (Isnin) bagi mengadakan perjumpaan antara guru, ibu bapa dan murid terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis Habibi Majinji ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada seorang ibu yang mengatakan anak lelakinya yang berumur 10 tahun distapler di bahagian telinga kiri oleh seorang guru, dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi, Jumaat lepas.

Beliau berkata, murid itu telah dihantar ke hospital bagi mengetahui tahap kecederaannya dan hasil pemeriksaan fizikal mendapati tiada sebarang kecederaan teruk dialami, hanya kesan merah di bahagian telinga kiri.

Berdasarkan siasatan awal, Habibi berkata, stapler digunakan adalah kosong atau tidak berisi dawai kokot, dan guru terbabit sekadar ingin menakut-nakutkan murid berkenaan dengan menggunakan stapler kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

“Bagaimanapun, kenyataan perlu diambil dan guru itu akan dipanggil esok,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

– BERNAMA


Pengarang :