Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Hamidin dipilih Presiden MFL

SHAH ALAM, 14 SEPT: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebulat suara dipilih sebagai Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi undian Ahli Lembaga Pengarah dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga 2019, hari ini.

Dalam kenyataan, Hamidin berkata, beliau berterima kasih atas kepercayaan diberikan semua pemegang taruh MFL selain menganggap ia satu tanggungjawab dan amanah cukup besar.

“Saya akan berusaha untuk memegang amanah ini dengan baik namun saya mengharapkan sokongan padu semua pihak untuk bergerak sama melaksanakan gagasan yang sudah diasaskan Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Saya sebenarnya berat untuk memikul jawatan ini tetapi atas kepercayaan diberikan daripada rakan kongsi liga dan demi stabilkan keadaan bola sepak negara, saya bersetuju dengan pemilihan ini,” katanya.

Beliau berkata, sokongan semua pihak ditagih untuk mengimbangi tuntutan selaku Presiden FAM dan MFL.

Pemilihan Hamidin dibuat selepas pemegang taruh MFL terdiri daripada 23 rakan kongsi bersetuju untuk meminda perlembagaan badan itu di mana status jawatan Pengerusi ditukar kepada Presiden dengan calon untuk menduduki kerusi tertinggi itu adalah di kalangan Ahli Lembaga Pengarah MFL serta tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau kelab Liga Malaysia.

Perubahan itu sekali gus menyaksikan beliau mengambil alih teraju MFL daripada Tunku Ismail iaitu pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku Pengerusi sebelum ini.

Hamidin, 54, memulakan kerjaya dalam pentadbiran dan pengurusan bola sepak selaku Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1995, adalah Presiden profesional pertama FAM yang juga peneraju pertama bukan golongan ahli politik mahupun kerabat diraja sejak Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada 1951.

Selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1998, beliau berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di FAM, termasuk Naib Presiden, ahli jawatankuasa pertandingan, pengurus futsal dan pengurus pasukan bola sepak kebangsaan sebelum diangkat menjadi Setiausaha Agung FAM pada 2013.

Beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Agung FAM di bawah pentadbiran Al Sultan Abdullah yang memegang jawatan Presiden FAM pada 2014 hingga 2017.

Susulan peletakan jawatan Tunku Ismail selaku presiden FAM pada awal 2018, Hamidin dipilih sebagai pengganti pada Julai tahun yang sama.

Sementara itu, pertukaran Ahli Lembaga Pengarah MFL menyaksikan Mohd Joehari Mohd Ayub yang juga Naib Presiden FAM dilantik ke jawatan berkaitan menggantikan Hamidin.


Pengarang :