Kediaman penduduk di kawasan rizab Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina secara tidak sah. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Hanya rumah tanpa geran diroboh di Paya Jaras

SHAH ALAM, 20 SEPT: Hanya struktur binaan tanpa geran dirobohkan dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Kedondong pada 18 September lalu, kata Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling.

Dalam kenyataannya hari ini, jabatan itu memaklumkan operasi berkenaan dijalankan bagi memberi laluan kepada Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong yang tertangguh sejak sekian lama.

Katanya, projek bernilai RM5.93 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Selangor itu penting bagi menangani masalah banjir yang kerap melanda empat kampung di situ.

“Penguatkuasaan yang dirancang dibahagikan kepada dua komponen iaitu Plot A dan B (50 struktur) serta Plot C dan D (45 struktur). Pengenalpastian struktur yang terbabit adalah setelah kerja pengukuran dibuat jurukur tanah berlesen yang dilantik.

“Tiada sebarang struktur kediaman mahupun lain-lain di dalam tanah hakmilik (geran) terbabit dalam operasi penguatkuasaan,” katanya.

PDT Petaling juga menjelaskan, sebelum tindakan operasi penguatkuasaaan dilakukan, pengeluaran notis dibuat dua kali kepada pemilik struktur supaya mengosongkan tapak.

“Notis pertama pada 12 Mei 2016 dengan tempoh 30 hari manakala kedua pula pada 5 Ogos lalu dalam tempoh sama yang berakhir pada 4 September lalu.

“Pada 3 Ogos 2019, semua 82 pemilik struktur berkaitan ditawarkan pembelian Rumah Selangorku dan ia adalah hasil libat urus dibuat PDT Petaling bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor,” katanya.

Pada 18 September lalu, PDT dengan kerjasama polis dan agensi lain menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu terhadap struktur yang berada di atas rizab Sungai Kedondong.

Tindakan ini dibuat di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah Kerajaan.

Operasi meroboh 45 struktur termasuk kediaman hanya melibatkan plot C dan D, sementara plot A dan B belum dijalankan.

Projek tebatan banjir ini sudah tertangguh bertahun-tahun akibat keengganan penduduk di tanah rizab sungai berpindah, selain proses rundingan yang berterusan dengan Kerajaan Negeri sejak 2015.

Susulan kelewatan itu, Selangor menanggung kerugian jutaan ringgit, selain bencana banjir terus melanda penduduk empat kawasan berdekatan, Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu.

Selain menghormati hasrat pemilik berhubung UPSR, PDT berkata, mereka juga ditawarkan kemudahan memilik kediaman bawah projek Rumah Selangorku.


Pengarang :