AGENDANASIONAL

Henti main isu kaum, agama

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Polis sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak memainkan isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang terhadap pihak yang cuba bertindak dalam sebarang cara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Beberapa kes membabitkan isu sensitif kini dalam siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (KK), iaitu mengeluarkan kenyataan khianat awam dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

Siasatan juga membabitkan Seksyen 504 KK iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Huzir berkata, siasatan membabitkan Seksyen 504 KK itu membabitkan kes penceramah bebas Dr Zakir Naik yang sebelum ini dipanggil untuk memberi keterangan dan polis masih menunggu keputusan serta arahan lanjut daripada pejabat peguam negara.

“Kes membabitkan penceramah bebas itu ialah dakwaannya berhubung bangsa India di negara ini tidak menyokong Perdana Menteri dan meminta kaum Cina untuk keluar dari Malaysia.

“Selain itu, siasatan lima individu yang membuat kenyataan menyebabkan keresahan dan kemarahan orang ramai terhadap Zakir turut disiasat dan kes dirujuk kepada pejabat peguam negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagi Seksyen 505(c) KK, dua kes sedang dalam siasatan iaitu membabitkan pemilik akaun Facebook Wan Muhammad Azri Wan Deris yang mempertikaikan kes insiden kemalangan jalan raya yang meragut nyawa Syed Muhammad Danial Syed Shakir pada 10 Ogos lepas dan ahli perniagaan Koon Yew Yin mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Polis sudah merakam percakapan kedua-dua individu ini dan masih menunggu laporan analisis digital ke atas barang kes daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998…kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat peguam negara untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :