Pengerusi Eksekutif Hijrah Selangor, Datuk Mansor Othman pada sidang akhbar bersama media sempena Lawatan Kembara Sukses Hijrah 2019 Restoren Mio’s Kitchen, 29-G, Jalan BK 5A/2, Bandar Kinrara.19 September 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

Hijrah Selangor jalin kerjasama dengan MDEC bantu usahawan

PUCHONG, 19 SEPT: Yayasan Hijrah Selangor bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi memberikan latihan keusahawanan digital kepada usahawan Hijrah.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Dato’ Mansor Othman berkata, ia bagi membantu usahawan untuk membina kemahiran dalam menggunakan teknologi internet dan komputer.

Katanya, menerusi inisiatif itu ia dapat mencapai matlamat pemasaran untuk meningkatkan jualan dan prestasi terutama dalam perniagaan mikro.

“Hijrah Selangor mengambil inisiatif melaksanakan kursus pemasaran digital dan latihan keusahawanan dengan kerjasama MDEC bagi mempersiapkan usahawan Hijrah meningkatkan jualan serta prestasi perniagaan secara dalam talian.

“Malah, kerajaan pun ingin majukan digital ekonomi dan kita tidak mahu usahawan di Selangor terutamanya ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Sidang Media sempena Lawatan Kembara Sukses Hijrah 2019 di Restoren Mio’s Kitchen, Bandar Kinrara, di sini, hari ini.

Sementara itu, Peneraju Projek, Pembangunan Perniagaan, Kemahiran Digital MDEC, Amirul Ashraf Roslan berkata, pihaknya juga akan membangunkan pusat e-dagang setempat di setiap cawangan Hijrah tidak lama lagi.

“Menerusi pusat e-dagang itu, usahawan dan orang awam boleh membuat rujukan berkaitan perniagaan secara digital melalui penyediaan modul latihan yang disediakan kami ,” katanya.

Pada masa sama, Hijrah Selangor berhasrat melahirkan 40 tenaga pengajar bertauliah dalam kalangan Pegawai Hijrah Selangor melalui Kursus ‘Training of Trainers’ oleh MDEC supaya mereka berkeupayaan melatih usahawan Hijrah pada masa akan datang.


Pengarang :