AGENDANASIONAL

Individu belum lunas cukai disaran sertai PKPS

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Pembayar cukai yang mempunyai masalah pematuhan cukai digesa supaya segera menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang bakal berakhir pada 30 September ini bagi mengelakkan penalti yang tinggi.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam satu kenyataan menyatakan PKPS yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 bertujuan memberikan peluang kedua kepada pembayar cukai yang mempunyai masalah pematuhan cukai untuk membuat pembetulan pelaporan cukai mereka dengan menawarkan kadar penalti yang rendah iaitu hanya 15 peratus bagi fasa kedua program itu.

“PKPS membolehkan pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai mengelakkan penalti antara 45 peratus hingga 300 peratus mulai 1 Oktober. Ini dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika merasmikan Majlis Pengiraan Detik Pelancaran Program Khas Pengakuan Sukarela di Menara Hasil Petaling Jaya hari ini,” menurut LHDN.

Menurut kenyataan itu lagi, Guan Eng turut mengesahkan hanya maklumat penderma yang menderma RM10,000 dan ke atas sahaja perlu dikemukakan kepada LHDNM di bawah garis panduan bagi kelulusan Ketua Pengarah LHDNM di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967 berbanding maklumat penderma yang menderma RM5,000 dan ke atas sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Seri Sabin Samitah memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan membuat semakan lanjut ke atas tahun taksiran pengakuan sukarela itu telah dibuat oleh pembayar cukai di bawah program ini.

Majlis anjuran LHDNM itu menghimpunkan lebih 300 peserta dalam kalangan usahawan daripada pelbagai industri yang menghadiri sesi dialog bersama Menteri Kewangan dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM sebagai medan menjawab sebarang keraguan berhubung PKPS.

Ia turut disokong oleh Institut Percukaian Berkanun Malaysia (CTIM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

Untuk sebarang keterangan lanjut berkenaan PKPS, orang ramai boleh mengunjungi pejabat LHDN yang berhampiran; menghubungi Hasil Care Line LHDN di talian 1-800-88-5436 atau 603-8911 1100 (Luar Negara) atau emel pertanyaan di alamat [email protected].

– BERNAMA


Pengarang :