Kebakaran tanah pertanian di Kampar, wilayah Riau di Kepulauan Sumatra yang dirakamkan pada 16 September 2019. – Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Indonesia bayangkan sukar padam kebakaran

JOHOR BAHRU, 17 SEPT: Kerajaan Indonesia sentiasa berkoordinasi dan berkomunikasi dengan kerajaan Malaysia dalam usaha membanteras kejadian kebakaran hutan yang berleluasa di Sumatera dan Kalimantan.

Direktur Hal Ehwal Asia Tenggara, Kementerian Luar Negeri, Denny Abdi berkata, Indonesia sedang berusaha melakukan yang terbaik bagi menangani masalah itu, dan beliau menggambarkan ia bukan satu tugas yang mudah memandangkan kebakaran hutan itu melibatkan tanah gambut dengan kebakarannya berlaku jauh di bawah tanah.

“Kita sedang melakukan koordinasi antara kerajaan Malaysia-Indonesia. Kita faham impak jerebu ini. Komuniti kami sama seperti Malaysia, turut merasai kesan jerebu ini.

“Kerajaan Indonesia sedang berusaha menggunakan segala sumbernya, sehingga kini kita sudah hantar hampir 30,000 petugas, selain 50 helikopter untuk melaksanakan kerja-kerja pengeboman air bagi memadamkan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Mesyuarat perniagaan dan Rangkaian Kerja 2019 anjuran Pejabat Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru di sini, hari ini.

Kenyataan iu juga dibuat ketika menjawab soalan sekiranya kerajaan Indonesia akan menerima tawaran kerajaan Malaysia dalam membantu Indonesia menangani kebakaran hutan.

Turut hadir, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sunarko.

Ditanya sekiranya Indonesia akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat Malaysia di Indonesia yang dilaporkan turut terlibat dengan kebakaran hutan, beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat-syarikat berkenaan yang terbukti bersalah.

“Kita tidak membezakan syarikat-syarikat ini dari negara mana, jadi mana-mana jua syarikat.. sama ada Malaysia, Indonesia atau lain-lain negara.. kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mereka (jika terbukti),” katanya.

Denny berkata, beliau percaya kebakaran itu berpunca daripada pembakaran haram bagi tujuan penanaman semula.

“Ini kerana adakalanya ia dilakukan untuk membersihkan kawasan.. ini cara termurah untuk melakukannya, tapi kita semua tahu perbuatan ini menyalahi undang-undang,” katanya.

Semalam, Presiden Joko Widodo berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap individu ataupun syarikat yang bertanggungjawab melakukan kebakaran hutan di Kalimantan dan Singapura, yang mengakibatkan jerebu teruk bukan sahaja di Indonesia, tapi juga di negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Singapura.

– BERNAMA


Pengarang :