AGENDANASIONAL

Inkues Adib: Punca sebenar kematian diketahui esok

SHAH ALAM, 26 SEPT: Selepas 41 hari prosiding inkues berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dijalankan, esok adalah detik yang amat ditunggu pelbagai pihak apabila keputusannya akan diumumkan di Mahkamah Koroner di sini kira-kira jam 10 pagi.

Inkues, yang dimulakan pada 11 Februari lalu, di hadapan Koroner Rofiah Mohamad itu adalah bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.

Prosiding inkues berkenaan dijalankan ekoran punca sebenar yang meragut nyawa wira bomba itu dieksploitasi pelbagai pihak.

Pada 27 November lalu, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.

Bagaimanapun, selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Sepanjang inkues itu dijalankan, 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terbabit sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lalu.

Antara saksi pakar yang dipanggil ialah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Susulan insiden itu, pada 28 Disember lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara simbolik menyerahkan kenaikan pangkat Gred KB22 kepada bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid.

KPKT menyifatkan pengorbanan Muhammad Adib sehingga terkorban ketika rusuhan itu sebagai wira negara.

-BERNAMA


Pengarang :