AGENSISELANGOR

Inspektor polis, keluarga dikepung samseng ketika makan

KLANG – Seorang pegawai dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan keluarganya dikepung serta diugut hampir 40 lelaki di Kompleks Sukan Pandamaran di sini petang semalam.

Kejadian jam 5 petang itu berlaku ketika pegawai polis berpangkat inspektor berkenaan sedang makan di sebuah gerai menjual roti john bersama isteri, anak berusia dua tahun, ibu mentua dan anak saudaranya.

Keluarga polis itu kemudian didatangi lebih 10 lelaki yang dipercayai kumpulan saamseng.

Pegawai polis dan keluarganya kemudian dikepung dan diugut dengan ada antara suspek memiliki senjata tajam seperti pisau lipat, kerambit kecil serta besi buku lima.

Difahamkan, kumpulan samseng itu cuba menyerang mangsa kerana tidak berpuas hati dan menganggap mangsa adalah pemberi maklumat terhadap kegiatan jenayah mereka kepada polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan menerima laporan dibuat pegawai polis terbabit.

“Berdasarkan siasatan awal, insiden berkenaan tidak ada unsur kongsi gelap.

“Mangsa tidak disentuh atau dicederakan dan siasatan awal mendapati ada berlaku perselisihan faham antara mangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, susulan insiden itu, seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau kerana merusuh pada 2015,” katanya.


Pengarang :