Pemandangan bandar Klang yang berjerebu dan dirakam dari bangunan Majlis Perbandaran Klang. Foto ASRI SAPFIE/ SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jerebu: Tiga sekolah Selangor ditutup

SHAH ALAM, 12 SEPT: Sebanyak tiga buah sekolah di negeri ini terpaksa ditutup ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johan Setia, Klang mencatatkan IPU 206 iaitu sangat tidak sihat pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Muhamad Radzi Abdullah berkata, sekolah yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun dan SK Jalan Kebun.

“JPS mengambil maklum mengenai isu jerebu yang berlaku di kawasan Johan Setia.Tindakan tutup sekolah selaras dengan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia yang mengarahkan untuk menutup sekolah serta-merta sehingga keadaan udara kembali pulih.

“Penutupan sekolah tidak menjejaskan pelaksanaan semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam yang akan diteruskan seperti dijadualkan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga jam 9 pagi ini, lima kawasan lain di Selangor mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu Shah Alam (157), Petaling Jaya (153), Klang (150), Banting (132) dan Kuala Selangor (140).

Turut merekod bacaan IPU tidak sihat ialah Batu Muda (144) dan Cheras, Kuala Lumpur ( 127); Putrajaya (128); Nilai, Negeri Sembilan (127); Tangkak, Johor (110); Jerantut, Pahang (115) dan Sri Aman, Sarawak (160).

Kawasan lain dengan kualiti udara tidak sihat ialah Minden (103) dan Balik Pulau (128) di Pulau Pinang serta Tasik Ipoh (103) dan Seri Manjung (140) di Perak.

Sementara itu, sebanyak 51 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat bacaan IPU sederhana.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) manakala melebihi 300 berbahaya.

Orang awam boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.


Pengarang :