FOTO BERNAMA
AGENDANASIONAL

Isytihar Tasik Kenyir sebagai Taman Geo

KUALA BERANG, 2 SEPT: Kerajaan Terengganu disaran mengambil tindakan proaktif menjadikan kawasan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo (Geo-Park) bagi memastikan warisan semula jadi serta kesan sejarah terus kekal.

Pengerusi Program Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Hazman Samsudin berkata, tindakan itu juga mampu menjana pendapatan penduduk sekitar melalui aktiviti eko-pelancongan.

Bercakap kepada Bernama selepas melakukan tinjauan di Gua Bewah, yang berada di sekitar Tasik Kenyir, di sini baru-baru ini, beliau berkata pelan menjadikan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo wujud sejak 2011, namun belum direalisasikan sehingga kini.

“Pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo akan menarik minat pelabur asing selain membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk.

“Berdasarkan kajian demografi yang dijalankan oleh UMT terhadap komuniti Tasik Kenyir, golongan belia semakin berhijrah ke kawasan bandar bagi mencari peluang ekonomi yang lebih baik dan ini memberi kesan negatif terhadap pembangunan sosio-ekonomi setempat,” katanya.

Hazman berkata, berikutan penghijrahan itu banyak tanah kebun terbiar dan tidak diusahakan, malah ada yang terpaksa mengupah warga Indonesia dan Bangladesh.

“Jadi kalau tiada campurtangan kerajaan, peluang ekonomi makin tidak ada di sini dan yang tua makin ‘hilang’, siapa yang akan tinggal di sini Lama kelamaan warisan kita di sini akan hilang,” katanya.

Mengambil contoh Pulau Langkawi, Hazman berkata, jumlah kemasukan pelancong di pulau itu melonjak tinggi selepas ia diisytiharkan sebagai Taman Geo.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo tidak akan membebankan mana-mana pihak atau menjejaskan pendapatan sedia ada kerana tidak melibatkan pewartaan.

“Tidak membabitkan pewartaan. Berbeza dengan Warisan Dunia yang melibatkan pewartaan, perniagaan akan berjalan seperti biasa. Maknanya kalau ada kita ada kuari di sana, tempat membalak teruskan membalak. Tapi janganlah membalak di kawasan yang dikenal pasti ada sejarahnya seperti Gua Bewah ini.

“Ini kita dah kenal pasti sebagai tapak warisan Gua Bewah, ada ‘Bewah Man dan sebagainya, jadi janganlah membalak. Tapi kawasan lain nak membalak, membalaklah”, katanya.

Sehubungan itu, Hazman berharap cadangan terbabit dapat diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan negeri terutama dalam memastikan kelangsungan sumber warisan dan peningkatan industri pelancongan.

Tasik Kenyir yang mempunyai keluasan 209,199 hektar merupakan tasik buatan terbesar di Asia Tenggara dan menjadi habitat kepada ribuan spesis flora dan fauna.

Ia juga adalah lokasi fosil dinosaur ditemukan selain penemuan rangka manusia tertua di Malaysia dikenali sebagai ‘Bewah Man’ – yang berusia 16,000 tahun.

-BERNAMA


Pengarang :