AGENDANASIONAL

Jaga ternakan, elak baling batu jamin mutu khidmat KTMB

PASIR MAS, 28 SEPT: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menaruh harapan tinggi kepada masyarakat untuk bersama-sama membantu dalam usaha mereka meningkatkan lagi tahap perkhidmatan kepada masyarakat.

Pengurus Besar Perolehan KTMB, Mohd Hider Yusoff berkata, ini kerana selain peranan yang KTMB sendiri lakukan, masyarakat juga ada peranannya termasuklah tidak melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan kepada gangguan kepada perkhidmatan.

“Contohnya, landasan keretapi, elakkan baling batu dan menjaga ternakan, kerana jika berlaku sesuatu kemalangan, ia akan mengganggu perjalanan tren kami dan akan memberikan kesan kepada pengguna.

“Jika pelbagai pihak berikan kerjasama, kami yakin perkhidmatan dapat ditingkatkan, begitu juga dengan waktu perjalanan tren akan lebih tepat dan baik,” katanya selepas Perasmian Program KTMB dan Anda di Stesen KTMB Pasir Mas, dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan, Syed Nasir Syed Ahmad, di sini, hari ini.

Mohd Hider berkata, kerjasama itu penting kerana pihaknya sering kali mendapat makluman berkaitan dengan kualiti perkhidmatan terutamanya dengan ketepatan waktu.

Katanya, selain meningkatkan mutu perkhidmatan, pihaknya memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan pengguna dan masyarakat setempat.

“Aspek keselamatan menjadi keutamaan kepada kami kerana tiada guna sekiranya mutu perkhidmatan baik dan selesa namun perkhidamatan kami memberikan kesan bahaya yang melibatkan nyawa dan harta benda,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :