AGENDANASIONAL

Jakim sahkan Tealive halal

SHAH ALAM, 5 SEPT: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan segelintir pihak yang menyatakan produk minuman teh boba jenama Tealive mengandungi unsur khinzir.

Jakim dalam kenyataan memaklumkan, berita yang tular di media sosial baru-baru ini sama sekali tidak benar dan ia hanya rekaan pihak tidak bertanggungjawab.

“Tealive yang diusahakan oleh syarikat Loob Integrated Sdn Bhd adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih sah.

“Justeru, masyarakat dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu maklumat berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti supaya tidak terjebak ke kancah fitnah, salah faham sesama ummah dan menjejaskan keharmonian negara.

“Kami juga ingin menasihatkan masyarakat agar menjadi pengguna bijak, bermaklumat dan berakhlak mulia supaya tidak mudah dipengaruhi dengan sebaran palsu sebegini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook Jakim, hari ini.

Pada masa sama, Jakim berkata, orang ramai yang ingin mengetahui produk dan premis sesuatu makanan itu memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia boleh melayari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my.

Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.

 


Pengarang :