AGENDANASIONAL

Jalan pintas bukan cara peroleh kejayaan bidang pertanian

SHAH ALAM, 6 SEPT: Petani dan peladang dinasihatkan supaya tidak mengambil jalan pintas demi meraih keuntungan dan kejayaan semata-mata sebaliknya mengikut prosedur tanaman yang ditetapkan.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, disiplin dan kesungguhan perlu dijadikan asas untuk berjaya di samping mempelajari ilmu baharu selari dengan perkembangan teknologi semasa yang sesuai dengan bidang pertanian.

“Disiplin merupakan teras kejayaan. Kita tidak boleh ambil jalan pintas untuk mencapai cita-cita.

“Jalan pintas ini sebenarnya penuh perangkap dan kita pastinya akan terperangkap. Kesungguhan dan keyakinan pasti akan membuahkan hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Apresiasi Pensijilan myGAP dan myOrganic Sektor Tanaman Peringkat Negeri Selangor 2019 di pentas utama Selangor Agro Fest.

Katanya, Jabatan Pertanian telah menjalankan pelbagai usaha bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran hasil pertanian supaya ia selamat dimakan pengguna.

Pada majlis itu, seramai 112 petani bagi tahun 2018 dan 2019 memperoleh pensijilan myGAP dan myOrganic sekali gus diiktiraf sebagai ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik serta Perladangan Organik.

myGAP yang dahulunya dikenali sebagai Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) adalah skim yang dirangka dan dilaksana Jabatan Pertanian sejak 2012.

Untuk rekod, Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada pensijilan myGAP di negara ini sepanjang lima tahun berturut-turut sejak 2013.

Jabatan Pertanian Negeri Selangor mensasarkan 264 pensijilan myGAP untuk tahun 2019, selari dengan kehendak Jabatan Pertanian Malaysia yang mensasarkan enam pensijilan bagi setiap Agen Pengembangan Tanaman (APT).


Pengarang :