Pemandangan bandar raya Shah Alam yang dilanda jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 145 iaitu tahap tidak sihat ketika dirakam pada 11 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

JAS Selangor gerak pasukan pantau pembakaran terbuka

SHAH ALAM, 11 SEPT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menggerakkan pasukannya sejak beberapa hari lalu bagi memantau aktiviti pembakaran terbuka sebagai usaha mengelakkan jerebu bertambah buruk sehingga meningkatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri itu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Shafee Yasin berkata, langkah itu juga dibuat di lokasi yang kerap berlakunya kebakaran hutan dan tanah gambut di seluruh negeri berkenaan.

“Semalam, JAS Selangor membuat rondaan di kawasan tumpuan (berisiko berlakunya pembakaran terbuka) termasuk di Johan Setia, Klang dan kawasan sekitarnya.

“Bagaimanapun, sekitar pukul 5.40 petang semalam, kita dapati kawasan di sekitar Johan Setia secara keseluruhannya memang kelihatan berjerebu namun tiada lokasi khusus yang dilihat terbakar atau berasap,” katanya.

Beliau berkata, antara kawasan dilanda jerebu di sekitar Johan Setia adalah Jalan Kebun, Bandar Putera 2, Jalan Tengah 2 Jalan Johan Setia 1 dan Jalan Telekom.

Tambahnya lagi, siasatan pihak JAS negeri menunjukkan punca jerebu di kawasan berkenaan disyaki akibat jerebu rentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

“Tiada aktiviti pembakaran terbuka yang dikesan di negeri ini hingga mendorong kepada keadaan berjerebu di seluruh Selangor, setakat ini,” katanya.

Shafee pada masa sama turut meminta kerjasama masyarakat agar tidak melakukan pembakaran terbuka selain membantu JAS Selangor mengesan mereka yang dilihat sengaja melakukan aktiviti tersebut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kebakaran kawasan pertanian yang menyumbang kepada keadaan berjerebu di negeri ini.

“Setakat ini, tiada kebakaran berskala besar di negeri ini yang menyumbang kepada berlakunya jerebu. Namun, keadaan jerebu yang berlaku termasuk di Johan Setia berpunca dari jerebu rentas sempadan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 3 petang, IPU di enam kawasan di Selangor menunjukkan tahap tidak sihat dengan Shah Alam mencatat bacaan 146, Klang (138), Banting (137), Johan Setia, Klang (186), Petaling Jaya (144) dan Kuala Selangor (136).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

– BERNAMA


Pengarang :