Keadaan jerebu di Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya yang belum menunjukkan tanda-tanda untuk pulih. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

JAS: Tiada stesen catat kualiti IPU tahap baik

PUTRAJAYA, 13 SEPT: Tiada stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik setakat pukul 11 pagi tadi, dengan satu stesen iaitu di Johan Setia, Klang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat iaitu 213, lapor Jabatan Alam Sekitar (JAS), hari ini.

JAS dalam kenyataan berkata, keadaan di Johan Setia itu disebabkan oleh jerebu merentas sempadan dan beberapa kejadian kebakaran di kawasan belukar dan kebun persendirian seperti di Jalan 4B, Johan Setia dan Jalan Sungai Tengkorak, Kg Teluk Gong, Klang.

Bandar raya Shah Alam masih ditahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 139 ketika dirakam pada 12 tengahari, pada 13 September 2019. Foto – HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menurut JAS, sebanyak 29 sekolah di Selangor ditutup hari ini berikutan keadaan jerebu di Lembah Klang masih belum berkurangan.

“Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat, selatan dan timur Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak,” kata JAS.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 mengesan 221 titik panas di Sumatera, 1,307 titik panas di Kalimantan, dan 20 titik panas di Malaysia iaitu Johor (empat), Melaka (dua) dan Sarawak (14).

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC semalam, menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu dari kawasan kebakaran di timur, barat, tengah dan selatan Kalimantan, Indonesia dan di Jambi, Riau, Sumatera Selatan dan Lampung di Sumatera.

Kebakaran hutan tanah gambut di daerah Pelalawan sebuah wilayah di Pulau Sumatra yang menjadi jiran Singapura dan Malaysia pada 2 Ogos 2019. Foto AFP

“Arah pergerakan angin dari arah Barat Laut telah membawa asap jerebu dari kawasan Kalimantan dan Sumatera yang terjejas ke kawasan bahagian barat Sarawak dan seluruh Semenanjung Malaysia dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan tersebut,” kata JAS.

Sebanyak 25 stesen mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat sehingga pukul 11 pagi tadi manakala 42 stesen pula mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Stesen dengan IPU pada tahap tidak sihat ialah Sungai Petani, Kedah (111); Kulim Hi-Tech, Kedah (109); Seberang Jaya, Pulau Pinang (107); Minden, Pulau Pinang (114); Balik Pulau, Pulau Pinang (111) ; Tasek Ipoh, Perak (120); Pegoh Ipoh, Perak (103) ; Seri Manjung, Perak (126); Batu Muda, Kuala Lumpur (154); Cheras, Kuala Lumpur (146); Putrajaya, (142), Kuala Selangor, Selangor (103).

Petaling Jaya, Selangor mencatatkan IPU 141; Shah Alam, Selangor (136); Klang, Selangor (129); Banting, Selangor (126); Nilai, Negeri Sembilan (128); Seremban, Negeri Sembilan (107) ; Port Dickson, Negeri Sembilan (104); Bukit Rambai, Melaka (105); Bandaraya Melaka, Melaka (107); Segamat, Johor (107); Batu Pahat, Johor (102); Rompin, Pahang (168) dan Tangkak, Johor (134).

Proses membakar jerami adalah satu proses biasa yang dilakukan sebagai langkah memastikan tanah sawah kekal subur.
Selain itu, sisa pembakaran iaitu abu jerami dijadikan sebagai baja organik untuk kesuburan tanah tersebut.
– Foto BERNAMA

JAS menasihati orang ramai untuk tidak menjalankan aktiviti luar seperti sukan dan majlis perayaan yang mendedahkan orang awam kepada udara tidak sihat.

“Orang ramai diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Perintah larangan berhubung pembakaran terbuka telah dikeluarkan Ketua Pengarah JAS pada 11 September lalu.

– BERNAMA


Pengarang :