Tun Dr Mahathir Mohamad bersama rakan sejawatannya dari Pakistan Imran Khan ketika mengadakan perbincangan dua hala di sini pada 25 September lalu. Kedua-dua pemimpin berkenaan berada di sini bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi ke-74. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Jawatankuasa bersama Malaysia-Pakistan kenal pasti peluang perdagangan

NEW YORK, 26 SEPT: Malaysia dan Pakistan akan menubuhkan satu jawatankuasa bersama dalam usaha memperkemaskan lagi peluang perdagangan dan pelaburan di kedua-dua negara.

Ini antara hasil daripada perbincangan dua hala antara Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Pakistan, Imran Khan di sini pada Rabu.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa bersama bagi mengenalpasti peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia dan Pakistan,” kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melalui Twitter.

Mohamed Azmin, yang turut hadir semasa perbincangan itu bersama-sama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementeriannya akan mengambil tindakan segera bagi menerajui inisiatif ini.

Dr Mahathir dan Imran Khan berada di bandar raya itu untuk menghadiri Sesi Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu ke-74.

Sementara itu, Malaysia, Pakistan dan Turki membuat keputusan untuk menubuhkan bersama sebuah rangkaian berbahasa Inggeris bagi menangani isu Islamophobia dan menjelaskan berhubung Islam.

Perkara ini dinyatakan oleh Imran Khan dalam akaun Twitternya.

“Presiden Erdogan, Mahathir dan saya sendiri mengadakan mesyuarat hari ini (Rabu) di mana kami membuat keputusan bahawa tiga negara ini akan memulakan bersama satu rangkaian berbahasa Inggeris bagi menangani cabaran yang dibawa oleh Islamophobia dan penjelasan berhubung agama Islam yang agung ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :