AGENDANASIONAL

Jawatankuasa khas kaji alternatif kepada hukuman mati

SHAH ALAM, 6 SEPT: Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap hukuman mati mandatori berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 29 Ogos 2019 lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong berkata, jawatankuasa khas tersebut berperanan untuk mengkaji dan menasihati kerajaan mengenai cadangan dasar penghukuman alternatif sebagai hukuman gantian terhadap hukuman mati.

“Jawatankuasa Khas tersebut akan dipengerusikan oleh seorang mantan Ketua Hakim Negara dan ahli-ahlinya yang terdiri daripada mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, mantan pegawai Jabatan Peguam Negara dan mantan pegawai kanan Jabatan Penjara Malaysia

“Turut menganggotai jawatankuasa itu wakil Majlis Peguam Malaysia, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), ahli akademik, pakar kajian jenayah dan wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO),” katanya dalam kenyataan

Katanya, kerajaan mengambil langkah proaktif dan berhati-hati bagi memastikan hukuman alternatif itu setimpal dengan kesalahan jenayah yang dilakukan serta mengambil kira implikasi dan kebajikan terhadap mangsa perlakuan jenayah.

Cadangan penghapusan hukuman mati mandatori itu adalah selaras dengan Janji 27 dalam manifesto Pakatan Harapan.

Pemansuhan hukuman mati mandatori akan memberi budi bicara kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman alternatif berdasarkan fakta kes.


Pengarang :