Para peserta Trash To Cash dilepaskan bagi memulakan kutipan sampah sekitar Kampung Bukit Sungai Putih ketika Program Jelajah Kemasyarakatan Gen-S di Dataran Kampung Bukit Sungai Putih, Ampang pada 29 September 2019. – Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jelajah Kemasyarakatan Gen S galak kerjasama penduduk

AMPANG, 29 SEPT: Jelajah Kemasyarakatan Generasi Selangor (Gen S) akan diteruskan di tiga lokasi terpilih sekitar negeri.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman berkata, program berkenaan diadakan bagi menggalakkan belia bekerjasama dengan penduduk setempat melaksanakan aktiviti dirancang.

“Menerusi jelajah ini, pembabitan aktif anak muda dalam aktiviti kemasyarakatan akan menyumbang bakti belia untuk komuniti akar umbi.

“Contohnya, aktiviti memelihara alam sekitar dengan membersihkan kawasan di Kampung Batu Putih ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Jelajah Kemasyarakatan Gen S, di Kampung Bukit Sungai Putih, di sini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Pada masa sama, Khairuddin berkata, aktiviti kemasyarakatan itu sebagai landasan memupuk semangat perpaduan dan silaturahim selain menggalakkan amalan hidup sihat.

“Pelbagai inisiatif dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi memperkasakan komuniti supaya lebih aktif.

“Kampung ini dipilih menjadi tuan rumah untuk Siri jelajah pertama ini dengan melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya, plogging, sampah kepada tunai, gebang pemuda positif, gunting rambut percuma dan persembahan artis,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 300 penduduk setempat dan sukarelawan Team Selangor melaksanakan aktiviti mengutip sampah di sekitar kawasan perumahan kampung berkenaan.


Pengarang :