Jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya tiba di Masjid Kem Wardieburn, Jalan Genting Kelang hari ini. Allahyarham maut terkena tembakan ketika melakukan gimik demonstrasi pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, semalam. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jenazah Mejar Mohd Zahir dikebumi di Ipoh

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Suasana pilu menyelubungi pekarangan Masjid Kem Wardieburn, Jalan Genting Klang, Setapak, di sini, apabila jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, tiba di masjid itu untuk penghormatan terakhir dan solat jenazah.

Lebih 1,000 hadirin termasuk anggota keluarga, kenalan rapat dan petugas media menunggu ketibaan jenazah pada 1.48 pagi untuk memberi penghormatan terakhir dan menyempurnakan solat jenazah.

Antara orang kenamaan yang hadir, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Ahmad Nawawi dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany; Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kol (B) Nazim Mohd Alim dan ayah Allahyarham, A R Badul serta anggota keluarga yang lain.

Jenazah Allahyarham Mohd Zahir yang selesai disolatkan pada 2.43 pagi itu kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh untuk dikebumikan selepas solat subuh.

Mohd Zahir, 36, adalah pegawai komando daripada Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi semalam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu selepas dipercayai tertembak ketika membuat aksi gimik dalam satu demonstrasi sempena penubuhan 5 Divisyen di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Allahyarham Mohd Zahir bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur merupakan seorang bapa kepada lima anak berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun.

Sementara itu, Nazim berkata beliau mewakili Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk menyampaikan ucapan takziah Seri Paduka berdua kepada anggota keluarga Allahyarham Mohd Zahir.

Nourshafinar Harun, 31 (tiga, kiri) kelihatan sebak ketika menunggu jenazah suaminya Mejar Mohd Zahir Armaya tiba di Masjid Kem Wardieburn, Jalan Genting Kelang hari ini. Foto BERNAMA

“Saya juga menyampaikan sumbangan bagi pihak Seri Paduka Baginda berdua buat isteri Allahyarham, Nourshafinar Harun,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Nourshafinar, 31, berkata: “Saya rasa bertuah sangat hidup dengan dia (Mej Mohd Zahir Armaya) walaupun Allah pinjamkan dia sekejap sahaja”.

Beliau mengetahui suaminya meninggal dunia selepas menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai tentera dari Sabah.

“Cuma berita itu sahaja saya terima dan tidak tengok lagi apa-apa video mengenai kejadian itu.

“Kali terakhir saya jumpa Allahyarham ialah pada 26 Ogos lalu sebelum dia ke Sabah,” katanya yang kelihatan amat sedih.

-BERNAMA


Pengarang :