Warga Angkatan Tentera Malaysia mengebumikan jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya di Tanah Perkuburan Islam Tambun pada 5 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jenazah Mejar Mohd Zahir selamat dikebumi di Tambun

IPOH, 5 SEPT: Jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya yang maut tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini hari ini.

Suasana mendung dan gerimis selepas hujan lebat awal pagi tadi, mengiringi pengebumian jenazah kira-kira 8.20 pagi yang sebelum itu disembahyangkan di kediaman ibu mentua Allahyarham di Taman Perpaduan, Tambun.

Solat jenazah dan solat subuh diimamkan Pegawai Staf Agama, Markas 2 Briged, Lt Kol Titan Abd Wahap. Turut sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Terdahulu, jenazah arwah tiba kira-kira 5.45 pagi dari Kem Wardieburn, Jalan Genting Klang, Setapak dengan disambut ahli keluarga, kenalan serta jiran tetangga yang menunggu seawal 3 pagi.

Mohd Zahir, 36, adalah pegawai komando daripada Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas meninggal dunia pada 9.20 pagi semalam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Allahyarham Mohd Zahir bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur adalah seorang bapa kepada lima anak berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun.

Sementara itu, Ahmad Faizal ketika ditemui secara peribadi menyifatkan Allahyarham sebagai seorang wira kepada dirinya.

“Semangat Allahyarham akan sentiasa saya kenang. Didoakan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :