ADNSELANGOR

Jerebu: 2,000 topeng muka diedar kepada pelajar, guru

PUCHONG, 12 SEPT: Sejumlah 2,000 topeng muka diagih kepada pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 1, Bandar Kinrara ekoran Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin meningkat di negeri ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pengedaran penutup hidung dan mulut ke sekolah yang terjejas itu adalah pertama kali dibuat sejak jerebu melanda Selangor pada awal bulan ini.

Ng Sze Han menyerahkan topeng muka dan mulut kepada pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 1, Normah Hashim pada 12 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Katanya, beliau selaku Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara juga akan memantau sekolah-sekolah lain yang memerlukan penutup hidung dan mulut.

“Oleh itu, mana-mana sekolah yang memerlukan penutup hidung dan mulut boleh menghubungi pejabat ADN saya.

“Sebolehnya kita mahu pelajar dan kakitangan sekolah yang sering kali berada di luar bangunan dilindungi daripada menyedut udara berjerebu kerana dikhuatiri ia menjejaskan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengagihkan topeng muka kepada pelajar SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara, hari ini.

Hadir sama pengetua sekolah tersebut, Normah Hashim dan Setiausaha Persatuan Guru dan Ibu Bapa, Thiagaraj Sivanandam dan Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, E. Mehanatan.

Sementara itu, Thiagaraj berkata, pihak sekolah tidak lagi membenarkan sebarang aktiviti fizikal di luar kelas ekoran kualiti udara tidak sihat yang turut menjejaskan Bandar Kinrara.

“Jika ada pendidikan jasmani ia hanya dilakukan dalam kelas, kami tidak mahu kesihatan pelajar terjejas memandangkan sekarang ialah musim peperiksaan,” katanya.


Pengarang :