AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jerebu: 29 sekolah di Selangor ditutup esok

SHAH ALAM, 12 SEPT: Sebanyak 29 sekolah di Selangor ditutup pada esok akibat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.

Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) berkata, penutupan sekolah itu membabitkan 45,265 murid.

“Sebanyak 24 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang ditutup, manakala lima lagi di bawah PPD Kuala Langat.

“Jika pihak sekolah mendapati bacaan IPU di kawasan mereka melebihi 200, maka perlu mengambil tindakan selaras dengan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu menutup sekolah serta-merta sehingga keadaan kembali pulih,” kata kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, hingga petang tadi, JPS memaklumkan sebanyak lima sekolah di bawah PPD ditutup, hari ini.

Pada masa sama, bacaan IPU di Johan Setia, Klang setakat jam 8 malam tadi menunjukkan kualiti udara di daerah itu berada dalam kategori tidak sihat dengan bacaan 189.

Berdasarkan laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), lima lagi lokasi di Selangor turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Kuala Selangor (132), Shah Alam (125), Klang (116) dan Petaling Jaya (119).

Antara kawasan di negeri lain yang turut terjejas ialah Tangkak (113), Seri Manjung (140) dan Tasek, Ipoh (105) di Perak; Jerantut, Pahang (109) dan Nilai, Negeri Sembilan (116).

Sementara dua kawasan terjejas akibat jerebu di Kuala Lumpur ialah Cheras (118) dan Batu Muda (135).

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300, berbahaya.

Orang awam boleh merujuk laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini, setiap jam.


Pengarang :