Pemandangan jerebu di Singapura pada 13 September 2019. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Jerebu: Bahagian barat Singapura masuk peringkat ‘tidak sihat’

SINGAPURA, 14 SEPT: Kualiti udara di Singapura memasuki tahap “Tidak Sihat” dengan bacaan Pollutant Standard Index (PSI) 24-jam mencecah 106 di bahagian barat Pulau Kota Raya ini hari ini.

Pada catatan 5 petang, Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) berkata bacaan itu adalah antara 87 dan 106 dengan catatan terendah di bahagian timur republik ini.

Pada bacaan 101 dan 200, PSI 24-jam berada pada tahap “Tidak Sihat”.

“Bila berlaku PSI di tahap Tidak Sihat, mengurangkan aktiviti luar dan gerakan fizikal yang berat boleh membantu mengurangkan gangguan penyakit dari pendedahan jerebu,” nasihat NEA.

NEA menyatakan ia memantau keadaan secara dekat dan akan menyampaikan maklumat terkini bila perlu.

Menurut agensi itu, angin utama yang bertiup dari selatan dan barat daya akan meningkatkan keadaan jerebu di Singapura.

Agensi itu berkata cuaca terus kering di kebanyakan bahagian rantau ini termasuk Sumatra dan Kalimantan.

NEA berkata, sejumlah 156 tompok panas dikesan di Sumatra, kebanyakannya di bahagian tengah dan selatan pulau itu pada Jumaat.

Jerebu sederhana dan tebal terus berlaku dari tompok panas di sana dan keadaan berjerebu terus berlaku di Singapura dan beberapa bahagian Semenanjung Malaysia, katanya.

Di Kalimantan, sejumlah 1,043 tompok panas dikesan semalam. Jerebu yang tersebar meluas terus muncul di banyak kawasan di Kalimantan, dan sebahagian jerebu ditiup angin utama ke bahagian barat Sarawak dan kawasan laut sekitarnya.

Untuk beberapa hari akan datang, hujan sekejap-sekejap diramalkan di Singapura tetapi cuaca di Sumatra dan Kalimantan diramalkan kering pada umumnya.

-BERNAMA


Pengarang :