Jerebu di Miri berpunca daripada pembakaran terbuka tidak terkawal yang berlaku sejak semalam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jerebu kembali melanda Miri

MIRI, 4 SEPT: Jerebu kembali melanda Miri awal pagi ini, setelah seminggu masalah itu reda, berpunca daripada pembakaran terbuka tidak terkawal di sini yang berlaku sejak semalam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, antara kawasan yang terjejas ialah Permyjaya, Lutong, Taman Tunku dan sekitar Miri.

“Kawasan lain turut terjejas ialah perumahan Vista Perdana,” katanya dalam kenyataan, sambil menambah pembakaran terbuka dikesan dilakukan penduduk berhampiran untuk tujuan pertanian.

Katanya, antara lokasi yang dikesan melakukan pembakaran terbuka ialah kawasan berhampiran padang golf sebuah hotel terkenal ,di sini yang dipercayai dibakar oleh penduduk berhampiran untuk membesarkan kebun dan di depan Institut Latihan Perindustrian Miri.

Pada 25 Ogos lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri dengan bantuan pelbagai agensi serta syarikat korporat berjaya memadamkan kebakaran tanah gambut serta hutan di Kuala Baram yang menyebabkan jerebu di kawasan berkenaan.

Malah, dua sekolah rendah di sana terpaksa ditutup ekoran kebakaran berlarutan lebih dua minggu.

Untuk rekod, setakat pukul 9 pagi ini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri mencatat bacaan 146 iaitu tidak sihat ,manakala IPU di ILP Miri serta Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2, Miri masing-masing mencatat bacaan 98 dan 66 iaitu sederhana.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dalam satu kenyataan pagi ini berkata, tiada titik panas (hotspot) dikesan di Sarawak berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar.

Katanya, setakat ini hanya 129 titik panas dikesan di Indonesia iaitu 114 di Kalimantan dan 15 di Sumatera, jerebu dari Kalimantan pula dikesan bergerak ke arah Sarawak.

Tinjauan Bernama awal pagi ini mendapati masalah jerebu tidak menjejaskan sesi persekolahan di bandar, di sini terutama murid Tahun Enam yang menduduki peperiksan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah bermula hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :